Rutin Hidupku...
Ramai di kalangan kita merupakan fasilitator berpengalaman. Sekalipun mungkin tidak pernah melalui kursus formal dan memperolehi sijil pengiktirafan sebagai fasilitator. Saya kenal ramai di kalangan kita menjadi fasilitator hanya dengan berbekalkan pengalaman dan semangat. Menjadi fasilitator yang baik untuk melatih dan membangunkan belia samada yang sebaya mahupun yang lebih muda malah ada yang lebih tua.
Tentu sekali kita ingat modul "Rutin Hidupku" yang sering kita gunapakai di dalam program-program latihan dan pembangunan yang dianjurkan. Ahli-ahli kumpulan diminta untuk menyenaraikan rutin kehidupan seharian samada secara harian mahupun mingguan. Malah ada yang menyenaraikan rutin kehidupan mereka mengikut jam. Apapun bentuk aplikasinya, yang penting adalah objektif akhir modul ini iaitu untuk menyedarkan tentang ke mana masa kita dihabiskan dan seterusnya menyuntik motivasi agar pembahagian masa disusun atur dengan betul mengikut keutamaan.
Dalam kesibukan kita melatih dan membangunkan ahli-ahli kumpulan kita tentang kepentingan masa dalam kehidupan agar ia dapat dimanfaatkan sebaiknya, adakah kita sendiri sebagai fasilitator sedar ke mana kita habiskan masa dalam kehidupan seharian kita?
Saya memang seorang penggemar jam digital dan saya masih ingat jam tangan saya ketika itu iaitu jam tangan digital berjenama Casio yang saya beli di India Street ketika umur saya mencecah 17 tahun. Saya pernah tersentak suatu ketika dahulu tatkala memerhati jam tangan Casio saya ini untuk mendapatkan masa ketika itu.
Telah datang suatu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan melalui kata-kata tatkala saya memerhatikan digit-digit saatnya yang berubah dengan tambahan satu demi satu. Sehingga lengkap digitnya menjadi 00 maka digit minitnya pula berubah dengan tambahan satu demi satu. Saya membayangkan, tatkala digit minitnya juga lengkap menjadi 00 maka digitnya jamnya pula berubah dengan tambahan satu demi satu. Lengkap digitnya jamnya menjadi 00, semua digit-digit saat, minit dan jam mengulangi kitaran kiraannya seolah tiada apa yang berubah dari sehari ke sehari.
Tapi benarkah tiada apa yang berubah? Hanya dengan perubahan digit-digit saat itu, betapa ia telah menyebabkan digit-digit minit dan jam turut berubah dengan pertambahan. Walaupun ketika kitaran kiraan habis dan digit-digit itu bermula kembali daripada 00, siang dan malam juga bersilih ganti. Tarikh hari ini menjadi hari esok. Minggu ini menjadi minggu hadapan. Bulan ini menjadi bulan hadapan. Tahun ini menjadi tahun hadapan.
Hanya dengan perubahan pertambahan satu saat demi satu saat, perubahan dan pergerakan tidak dapat dihentikan. Masa berjalan tanpa ada perhentian. Tidak menunggu dan tidak hirau. Masa tiada perasaan simpati pada apa yang ditinggalkan. Masa itu kejam kerana memamah usia orang-orang yang kita sayang dan malah diri sendiri.
Saya memerhatikan orang-orang di sekeliling saya. Masa yang berjalan ini telah menjadikan mereka semakin bertambah usia. Namun, terdapat perbezaan pada setiap daripada mereka. Sekalipun dengan umur yang sama, tetapi ada yang sudah bergelar jutawan manakala yang lain bergelar pengemis jalanan. Ada yang bergelar ilmuan manakala yang lain masih dalam kejahilan. Ada yang sudah mati manakala yang lain masih berfoya-foya dengan kehidupan.
Nah, di mana sebenarnya kita dengan usia yang kita timang-timang ketika ini? Siapa sebenarnya kita dengan masa yang berlalu tanpa mahu menunggu? Apa yang telah kita lakukan di dunia ini dengan kematian yang setia menanti yang mungkin datang menjemput tidak lama lagi?
Saya pernah mengambil masa bercerita perkara ini dengan beberapa kenalan saya. Tapi, rasanya salah saya kerana tidak dapat menyampaikan makna kisah ini dengan sempurna. Maka yang terbit daripada mereka hanya kebosanan dan dijadikan bahan lawak jenaka.
Kita lebih suka hidup menanti dan berdepan dengan cabaran tanpa melakukan persediaan kerana itu kita digelar seorang yang adventurous. Kita lebih suka hidup di luar kerangka jemaah tanpa hirau akan apa misi dan visi yan ditetapkan kerana itu kita digelar happy go lucky. Kita lebih suka menghabiskan kehidupan dengan segala macam hiburan yang tersedia kerana kita mahu live the life at the fullest.
Maka saya simpan jam casio saya itu sehingga ke hari ini kerana telah manjadi asbab kepada apa yang sedari dalam kehidupan ini. Kerana itu saya menjadi seorang yang cuba menepati masa kerana ia amat berharga. Kerana itu saya menjadi pemberang apabila pelan tidak dilaksana menurut yang direncana tanpa alasan yang sah. Kerana itu saya tidak sabar menanti sesiapa yang sudah berjanji tapi gagal menunaikannya.
Rutin hidupku... bukan sembarangan modul. Ia dibawa dengan hati yang dicerahkan dengan mengetahui makna masa. Hanya dengan direzekikan dengan makna masa maka modul ini bukan sahaja mampu mencerahkan ahli-ahli kumpulan kita, malah diri kita sendiri.
Rutin hidupku... masa yang kita lihat berlalu pergi dan kita masih di tapak yang sama ketika digit-digit masa itu bertambah tanpa henti. Tarikh hari ini, minggu ini, bulan ini dan tahun ini pun berubah, dan kita masih di sini? Maka di manakah kita nanti ketika hari ini menjadi esok, minggu ini menjadi minggu hadapan, bulan ini menjadi bulan hadapan, tahun ini menjadi tahun hadapan...? Ke mana kita habiskan masa kita? Apa rutin hidup kalian semua?
Comments