Lantik Hakim. . .

Malam tadi ada seorang budak SMS saya untuk mendapatkan nasihat saya tentang masalah dia. Masalah dia  pulak ada kena mengena dengan undang-undang. Saya tanya dia, mana dia dapat nombor saya? Dah pernah kenal ka sebelum ni? Rupanya memang tak pernah kenal langsung. Dari mana dia dapat nombor saya tu biarlah jadi rahsia.

Saya tak gemar menjawab soalan-soalan yang perlukan jawapan panjang melalui SMS. Jadi, saya hubungi budak tu sebab nak dengar secara langsung latar belakang masalah dia ni. Dah dengar habis cerita dia barulah saya dapat nak beri pandangan untuk bantu dia faham masalah dia sendiri dan supaya dia dapat buat keputusan yang bijak.

Dengar punya dengar, saya mengeluh panjang. Dipendekkan cerita, budak ni simpan klip video lucah seorang mahasiswi. Saya pun tak tahu macam mana klip tu boleh ada dalam simpanan budak ni. Budak ni pulak beri klip video tu kepada kawan dia dengan pesanan "kau jangan bagi kat orang lain". Dan kawan budak ni pun seperti kebiasaan akan beri kepada orang lain dengan pesanan yang sama.

Diketahuilah oleh mahasiswi ni yang klip video lucahnya dah jadi sebaran umum. Mahasiswi ni pun buatlah laporan polis dan lantik peguam nak saman siapa yang menjadi dalang angkara penyebaran klip video lucahnya. Saya petik kata-kata budak ni "... budak perempuan tu siap lantik peguam dan lantik hakim, nak saman RM 10,000.00 ..."

Isteri saya yang tengah duduk melayar internet sebelah saya pun tergelak kecil bila saya tanya dia untuk pengesahan "... biar betul budak perempuan tu siap lantik hakim ...". Isteri saya sambung gelak bila saya tanya sinis "... tak kan la RM 10,000.00 je kot ..."

Dah habis dengar kisah dia, lalu saya berilah pandangan saya sebagai seorang yang sedikit sebanyak pengetahuan undang-undang walaupun tak diamalkan. Di samping tu, terselit lah jugak nasihat sedikit sebanyak untuk dihadam oleg dia. Apa nasihat dan pandangan saya, biarlah dia dan saya (dan mungkin isteri saya) saja yang tahu.

Perbualan telefon saya dengan budak ni jadi bahan lelucon saya dan isteri saya. Saya maklum yang budak ni tentunya orang awam jadi kurang pengetahuan tentang ilmu perundangan. Kisah lantik hakim ni pernah jadi isu hangat negara (klik di sini). Sampai sekarang, walaupun dulu kata dah mula siasatan dan dah masuk mahkamah pun untuk dibicarakan malah siap tubuh Suruhanjaya Di-Raja lagi, tapi masih belum ada apa-apa perkembangan mutakhir.

Dalam Islam, hakim atau dalam terma Islam dikenal sebagai Qadhi dilantik oleh Khalifah (Ketua Negara). Pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda selaku Ketua Negara menanggung langsung tugas sebagai Qadhi. Namun, baginda turut melantik Qadhi-Qadhi lain untuk mewakili baginda di kawasan lain. Sebagai contoh; Sayyidina Ali Abu Talib k.w.j. dilantik sebagai Qadhi di Yaman dan Sayyidina Muaz Jabal r.a. dilantik sebagai Qadhi di Janad.

Fasal 122B (1) Perlembagaan Persekutuan jelas nyatakan yang segala jenis hakim di Malaysia ni hanya boleh dilantik oleh Yang Di-Petuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Mana boleh seorang mahasiswi lucah melantik hakim ikut suka dia.

Cabang kehakiman adalah salah satu cabang penting dalam pentadbiran negara di samping cabang eksekutif dan cabang perundangan. Setiap satu cabang ada bidang kuasa sendiri atas prinsip pemisahan kuasa. Setiap satu cabang tidak boleh mencampuri bidang kuasa cabang yang lain.

Sebagai seorang rakyat, saya kira hal ehwal perundangan asas seperti ni kita perlu tahu. Sebab ia adalah hak kita sebagai rakyat. Kalau ada benda salah berlaku dalam sistem perundangan negara, rakyat ada hak untuk tahu dan minta untuk diperbetulkan.

Saya ingat, masalah budak ni tak timbul kalau dia tak simpan klip video lucah mahasiswi tu. Buat apa nak simpan? Tak ada faedah, malah berdosa di sisi syara'. Mahasiswi tu pun satu hal, saya tak tahu la sejauh mana kelucahan klip video mahasiswi tu. Tapi kalau dah guna terma 'lucah', berat jugak tu. Membuka aurat pun dah berdosa apatah lagi tindakan lucah.

Jumpa masalah-masalah macam ni buat saya terfikir, apa yang mahasiswa buat di universiti sebenarnya?

1 comment