MENCIPTA GENERASI PEMANGKIN KECEMERLANGAN UMAT
UCAPAN DASAR YANG DI-PERTUA PERKEPIS
"MENCIPTA GENERASI PEMANGKIN KECEMERLANGAN UMAT"*
Oleh:
Khairul Anwar Shazali, Mantan YDP PERKEPIS 2009/2011
& Azrul Jaini, Mantan TYDP PERKEPIS 2010/2011
Segala puji dan syukur dipanjatkan hanya kepada Allah s.w.t. robbul ‘alamin serta selawat dan salam ke atas baginda Sayyidina Muhammad Rasulullah s.a.w. Kita berhimpun di Persidangan Mahasiswa Islam Sarawak (PERMIS) 2011 bersempena dengan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) ke-14. Adalah menjadi suatu tradisi untuk gerakan Islam seumpama PERKEPIS untuk menganjurkan perhimpunan ahli-ahlinya yang terdiri daripada pelajar dan mahasiswa Islam secara tahunan. Tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai wadah retrospeksi penilaian gerak kerja yang terzahir sepanjang sesi yang berlalu agar tidak lari daripada misi “Menjana Generasi Robbaniy Demi Membina Tamadun Khayra Ummah” dan visi “Menjadi Gerakan Pelajar Islam yang Dinamik dan Beriltizam Melahirkan Generasi Muda ke arah Memartabatkan Idealisme dan Cita-Cita Besar Islam”.
PERKEPIS merupakan satu-satunya gerakan pelajar Islam di peringkat negeri di Sarawak yang berdaftar secara sah sebagai sebuah persatuan di bawah Akta Pertubuhan 1966. PERKEPIS menaungi pelajar dan mahasiswa Islam samada yang berasal daripada mahupun yang melanjutkan pengajian di Sarawak. PERKEPIS yang ditubuhkan pada tahun 1997 kini telah sampai ke usia 14 tahun sekalipun baharu enam tahun bergerak secara sah di medan perjuangan ini. Dengan motto “Berjasa Kepada Masyarakat”, PERKEPIS komited dan konsisten sebagai gerakan pelajar Islam dinamik yang telah dan akan terus melahirkan generasi muda yang berkualiti sebagai kesinambungan ketamadunan negara dan agama. PERKEPIS telah melahirkan ramai pegawai kerajaan, ahli akademik dan profesional, usahawan, aktivis sosial dan lain-lain lagi daripada kalangan generasi muda.
Maka itu, PERKEPIS julung-julung kalinya menganjurkan PERMIS 2011 dengan tema “Mencipta Generasi Pemangkin Kecemerlangan Umat” untuk menghimpunkan pelajar dan mahasiswa Islam Sarawak untuk bersidang demi umat yang tercinta di bumi kenyalang ini. Perjuangan PERKEPIS akan kekal tempang tanpa sokongan dan dokongan pelajar dan mahasiswa Islam Sarawak dengan merentas sempadan firqah demi matlamat yang sama. Mengambil semangat kasih dan cinta baginda Muhammad Rasululullah s.a.w. kepada umat, maka seharusnya kita bangkit menyambut warisan semangat baginda Muhammad Rasululullah s.a.w.
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
PENDAHULUAN
Islam adalah agama yang diutuskan kepada al-khatimul anbiya’, Sayyidun Nabi al-Mustafa Muhammad Rasululullah s.a.w. Baginda diutuskan sebagai rahmat ke serata alam. Ini dinyatakan dalam Surah al-Anbiya’, ayat ke-107:
“Tidak Kami (Allah) utuskan engkau (wahai Nabi Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada sekalian alam”
Diutuskan baginda Muhammad Rasululullah s.a.w. membawa cahaya untuk menerangi bungkaman kegelapan yang membelenggu manusia secara keseluruhannya. Berkat usaha gigih baginda dan para sahabat serta generasi yang mewarisi perjuangan mulia, maka nur Islam telah sampai kepada kita hari ini. Nikmat iman dan Islam yang kita rasa merupakan bukti jelas betapa semangat kasih dan cinta baginda Muhammad Rasululullah s.a.w. kepada umatnya diwarisi secara turun temurun. Dan telah tiba masanya, kita generasi muda Islam pada hari ini memeluk semangat Ummati! Ummati! Ummati! daripada baginda Muhammad Rasululullah s.a.w. Marilah kita berselawat sebanyak-banyaknya atas baginda sebagai tanda cinta dan terima kasih. Allahumma Solli wasallim baarik ‘alaih!
Umat Islam bukan sahaja mencorak kecemerlangan Islam bahkan dunia secara keseluruhannya sejak berkurun lamanya. Dunia telah diberikan makna oleh para pewaris baginda Muhammad Rasululullah s.a.w. dalam lapangan politik, adab, pemikiran, sains dan teknologi, perubatan dan segala macam. Kecemerlangan ini adalah bertitik tolak daripada pemaknaan diri sebagai manusia untuk beroleh kejelasan matlamat dan halatuju dan dipacu dengan kecintaan dan kesungguhan demi Islam. Sabda baginda Muhammad Rasululullah s.a.w.;
“Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”
(H.R. Abu Daud)
Akan tetapi apabila umat Islam longgar, menjauhi bahkan menafikan agamanya, maka bermula di sanalah saatnya umat dirundung nestapa. Kehilangan peranan umat Islam di pentas dunia, adalah malapetaka yang dahsyat yang pernah dialami oleh manusia. Perkara ini disebut oleh seorang ulama sufi India, Syed Abul Hassan Ali Nadwi dalam bukunya“Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam”:
“Kalaulah dunia mengetahui akan hakikat malapetaka ini, berapa besar kerugian dunia dan kehilangannya dengan kejadian ini, dunia sampai hari ini akan menjadikan hari kejatuhan Muslimin itu sebagai hari berkabung yang penuh sesal, tangis dan ratapan”
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya “Risalah Untuk Kaum Muslimin”, dalam menggambarkan keadaan umat Islam masakini puluhan tahun yang lampau:
Muslim tergenggam belenggu kafir,
Akhirat luput, dunia tercicir,
Budaya jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.
Barus dan Singkel, Pasai dan Ranir,
Silam ditelan masa nan mungkir,
Lupa Jawaban dihafal mahir,
Bagi menyangkal Munkar dan Nakir.
Hadirin dan hadirat yang dikasihi,
Sebelum kita mendalami gagasan “Mencipta Generasi Pemangkin Kecemerlangan Umat,” moleklah kiranya kita hadamkan definisi ataupun pengertian yang ingin dihuraikan dalam ucapan dasar ini.
Mencipta
Kamus Dewan mendefinasikan istilah ‘mencipta’ sebagai ‘menerbitkan’, ‘mewujudkan’ ataupun ‘menghasilkan.’ Hakikatnya sifat ‘mencipta’ hanyalah milik Allah s.w.t. yang Maha Menciptakan. Namun istilah ini digunapakai dalam tajuk ini hanyalah sebagai metafora untuk menggambarkan betapa usaha ini bukanlah suatu permainan sekadar pengisian senggang masa lapang.
Maka, tiadalah niat untuk mengambil sifat Allah s.w.t. melainkan kepada-Nya kita berserah diri dan memohon pertolongan agar usaha ‘mencipta’ yang kita maksudkan di sini dizinkan oleh-Nya dengan taufiq dan hidayah daripada-Nya.
Generasi Pemangkin
Ibnu Khaldun dalam kitabnya “Muqoddimah” menggariskan teori sosial tentang kebangkitan dan kejatuhan ketamadunan. Di mana sesebuah ketamadunan akan menempuhi lima fasa iaitu fasa pengasas, pembangunan, kemuncak, kemunduran dan kejatuhan. Kelima-lima fasa ini berlangsung dalam tiga masa dengan setiap satunya menjangkau 40 tahun.
Apa yang menarik untuk difikirkan ialah generasi yang sering dikaitkan dengan fasa kemunduran dan kejatuhan sesebuah ketamadunan adalah generasi muda. Generasi muda dinilai sebagai generasi pengambil laba keuntungan daripada penat lelah perjuangan generasi awal. Maka jadilah mereka sebagai generasi muda minda pengguna yang hanya menunggu disuap dan ditongkatkan setiap masa.
Adalah menjadi tanggungjawab untuk memperbetulkan generasi muda minda pengguna hari ini untuk diubah menjadi generasi muda minda pencipta. Maka ‘Generasi Pemangkin’ yang dibicarakan dalam tajuk ini adalah generasi muda minda pencipta yang keluar daripada kepompong individualistik untuk menjadi generasi yang punya upaya dan kuasa untuk memangkin kecemerlangan umat secara keseluruhannya.
Kecemerlangan Umat
Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud dalam bukunya “Pembangunan Di Malaysia Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna” menjelaskan kecemerlangan umat tidak boleh hanya disimpulkan daripada tertegaknya kompleks Islam pencakar langit, masjid marmar bertiang seribu mahupun pusat Islam senireka baru. Kerana al-Falah iaitu kejayaan yang sifatnya tampak pada luaran tidak lengkap tanpa as-Sa’adah iaitu kebahagiaan mewakili sifat dalaman yang lebih bermakna. Maka itu, kecemerlangan umat harus punya keduanya supaya dipandang tinggi pada mata duniawi dan ukhrawi. Begitulah yang dicontohkan daripada Baghdad suatu ketika dahulu yang dikenali sebagai sebuah pusat Ilmu antarabangsa. Bukan sahaja dihiasi dengan pembangunan utiliti dan prasarananya tetapi yang lebih mengagumkan adalah pembangunan adab dan nilainya yang tiada banding pada zaman kegemilannya.
Takrifan hakiki hal ini berhasil daripada rujukan kita daripada al-Quran dalam Surah Ali Imran, ayat ke-110:
“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah yang mungkar, dan beriman kepada Allah.”
Inilah ciri-ciri yang digagaskan untuk kita beroleh status khayra ummah yang sudah pasti dijanjikan kecemerlangannya di dunia mahupun di akhirat. Dengan kita berbuat kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah s.w.t. maka kecemerlangan itu sudah pasti dalam gengaman umat ini.
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
PELAN BESAR PERJUANGAN
Kecemerlangan umat yang diimpikan akan hanya tinggal angan-angan sekiranya klise tersebut hanya bermain di bibir sebagai retorik tanpa satu pelan besar perjuangan untuk mencapainya. Justeru, adalah menjasi satu keperluan bagi generasi muda untuk memangkin kecemerlangan umat untuk punya satu pelan besar bagi merumuskan metodologi dan strategi untuk mencapainya. Perjuangan ini bukan sekejap masa yang diambil dan bukan sedikit pengorbanan yang ditagih. Namun, inilah mahar yang harus dibayar untuk memastikan kecemerlangan umat suatu realiti.
Perancangan Stategik
Marilah kita renungkan sejenak, betapa pentingnya perancangan strategik daripada kaca mata sejarah. Ini kerana sejarah tabiatnya berulang apabila sesuatu peristiwa melalui sebab-sebab ataupun jalan yang sama.
Umat tamadun Islam lampau tidak sunyi daripada jatuh bangunnya. Ada masanya ia naik. Ada masanya ia jatuh dan tampak mustahil untuk bangun semula. Tetapi Allah Rabbul Jalil itu Maha Perancang, Dia mahu menunjukkan bagaimanakah umat itu boleh bangkit semula melalui sunnah-sunnah sejarah yang Ia telah diciptakan.
Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sebagai Rasul dan imam pemimpin kepada umat Islam pada era baginda. Baginda memiliki perancangan strategik yang berpandukan wahyu dan izin Allah, mengajak manusia kepada Allah, dan memakmurkan muka bumi. Legasi yang baginda gagaskan telah diteruskan oleh Khulafa’ ar-Rasyidin. Tanpa perancangan strategik yang teliti amat mustahil sebuah empayar yang baru dapat tersebar dengan pantas dan teguh oleh pewaris-pewaris umat.
Kira-kira 5 abad kemudiannya, umat Islam di ambang kejatuhan. Kota suci yang ketiga umat Islam, iaitu Baitul Maqdis ataupun Jerusalem telah ditawan oleh gerombolan tentera Salib. Kira-kira 100 tahun setelah penaklukan tersebut, muncul sebuah generasi yang cemerlang, berkat hasil susunan Imam al-Ghazali dalam pembentukan generasi Sultan Salahuddin. Perkara ini dikupas dengan mendalam oleh Dr. Majid Irsan Kailani dalam buku beliau, iaitu “Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Jerusalem ke Pangkuan Islam”. Sultan Salahuddin telah terlibat dalam jihad sejak berumur 14 tahun. Beliau berjaya menawan Baitul Maqdis ketika berumur 56 tahun, dengan perancangan yang teliti dan sabar merealisasikannya.
Begitu juga seorang pemimpin ulung, iaitu Sultan Muhammad II al-Fateh yang telah menawan Kota Konstatinopel pada tahun 1453 ketika berumur 24 tahun. Pembebasan kota tersebut adalah hasil penelitian perancangan strategik yang diwarisi oleh ayahandanya Sultan Murad II. Impian membebaskan kota tersebut telah dikhayalkam oleh ibunya sejak kecil lagi.Sultan yang muda tersebut bukan sahaja panduan ulama, menyusun tentera yang terbaik, diplomasi politik antarabangsa, tetapi beliau juga mengambil kira cuaca, fenomena alam dan teknologi. Baginda sultan menjadikan hadith Nabi s.a.w menjadi realiti. Diriwayat oleh Imam Ahmad, bahawa Rasulullah s.a.w besabda ketika menggali Parit Khandaq (5 Hijrah):
“Kota Konstatinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya sewaktu itu adalah sebaik-baik raja yang ada. Tenteranya juga sebaik-baik tentera.”
Perkara ini dihuraikan dengan baik oleh Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman dalam buku beliau, “Kuasa Kepimpinan al-Fateh”.
Satu lagi bukti penting boleh dipelajari adalah daripada gerakan Zionis yang mempunyai perancangan yang amat teliti untuk membina negara bangsa mereka Israel. Ini bukan bermaksud kita mengagungkan mereka. Akan tetapi sebagai ikbtibar untuk mengukur bagaimanakah kedudukan kita sekarang dengan perancangan dan usaha yang mereka telah rencanakan. Merujuk kepada buku “Islam and the Problem of Israel” karangan Dr. Ismail Raji Faruqi, ideologi Zionisme telah digagaskan oleh seorang ahli fikir, sekularis berbangsa Yahudi yang bernama Theodor Hertzl. Beliau terpengaruh akan idea negara bangsa ataupun nasionalisme yang menggagaskan negara yang dibentuk oleh sesuatu bangsa tersebut. Akan tetapi, bangsa Yahudi yang terusir sejak 2000 tahun tidak bernasib sedemikian. Mereka hidup melarat di serata Eropah, Amerika, Afrika dan Timur Tengah. Hertzl inginkan bangsa Yahudi mempunyai negara. Beliau menyusun gagasan ideologi Zionisme selama 16 tahun, iaitu daripada tahun 1882 sehinggalah 1896. Pada tahun 1897, beliau telah menghimpunkan orang-orang Yahudi dari serata dunia dalam Konvensyen Zionis Sedunia Pertama di Switzerland. Dalam konvensyen tersebut, dibincangkan strategi bagaimanakah untuk merebut tanah air Palestina dalam masa 100 tahun. Akan tetapi, mereka berjaya membentuk Israel hanya 51 tahun kemudian pada tahun 1948!
PERKEPIS mengajak hadirin dan hadirat untuk bergabung dalam Pelan Besar Perjuangan ini. Jadikan PERKEPIS sebagai pangkalan untuk kita merujuk apabila kita berada di lapangan. Pangkalan bermaksud tempat untuk merujuk perancangan-perancangan yang membantu umat ini. Lapangan ialah kepakaran ataupun profesionalisme yang diceburi oleh individu-individu yang bergabung bersama PERKEPIS usai alam mahasiswa kelak. Pelan tersebut merupakan kompas penunjuk arah dan tindakan-tindakan bersama yang dapat dilaksanakan mengikut tahapan-tahapan yang disasarkan. Memetik kata-kata Sayyidina Umar al-Khattab radiallahu ‘anhu, iaitu:
“Di mana sahaja kita berada, kita menjadi penjuru-penjuru kepada Islam”
Ungkapan ini membawa makna bahawa apabila berada di mana-mana ataupun menceburkan diri dalam bidang apa sekalipun, kita menjadi kekuatan kepada umat Islam. Malah pepatah Melayu juga ada menyebutkan;
“Ditikam ke laut, jadilah pulau, ditikam ke darat jadilah gunung”
Matlamat Akhirat dan Dunia
Matlamat gagasan Mencipta Generasi Pemangkin Kecemerlangan Umat berpaksikan kepada dua aspek utama, iaitu:
Matlamat akhirat merupakan wasasan jangka masa panjang yang harus ada dalam setiap Muslim. Inilah wawasan yang membawa kepada kebahagiaan yang hakiki. Mengambil iktibar para sahabat yang begitu gigih menyebarkan agama Allah dan memakmurkan muka bumi dengan keadilan, adalah hasil pendidikan yang telah disemai oleh Nabi Muhammad s.a.w, agar matlamat akhirat sebagai matlamat yang agung, dengan menyedari bahawa hakikat kehidupan manusia di dunia adalah untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah. Sebagaimana dinyatakan dalam Surah az-Zariyaat, ayat ke-51:
“Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah kepada-Ku.”
Matlamat dunia dalam konteks ini adalah kita ini sebagai khalifah iaitu wakil Allah s.w.t. yang dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan muka bumi menuruti syariat-Nya dan menyebarkan rahmat ke serata alam sebagai menyambung sunnah terbesar baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat ke-30:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah (mansia) di muka bumi.”
Disiplin dan Iltizam kepada Perjuangan
Perjuangan ke arah memangkin kecemerlangan umat memerlukan disiplin dan iltizam para pejuangnya. Tanpa keduanya, maka gugurlah mereka yang mengaku berjuang menjadi golongan al-Muthoshoqittun yang disebutkan oleh Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya “Golongan Yang Tercicir Sepanjang Jalan Dakwah”. Perjuangan ini bukan hak milik peribadi untuk kita datang dan pergi sesuka hati. Perjuangan ini bukan harta benda kita untuk kita jual dan beli untuk kepentingan diri. Perjuangan ini bukan jawatan pangkat berjela-jela untuk kita tagih puji dan simpati.
Tanpa mereka yang mengaku berjuang pun, Allah s.w.t. punya daya dan upaya dengan sifat-Nya Yang Maha Berkuasa untuk menganugerahkan kecemerlangan kepada umat ini. Namun, adakah kita sanggup melepaskan ruang dan peluang untuk membuktikan diri kepada Allah s.w.t. sebagai pejuang agama-Nya. Surah Ali Imran, ayat ke-19:
“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam...”
Perjuangan ini adalah milik umat dan kita generasi pemangkin bangkit dengan insaf dan sedar menjadi pewaris sunnah baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. untuk membuktikan diri sebagai pejuang agama di sisi-Nya. Sayyidina Umar al-Khattab radiallahu ‘anhu berpesan;
“Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan, tiada kepimpinan tanpa ketaatan”
Hadirin dan hadirat yang dikasihi,
PRA-SYARAT GENERASI PEMANGKIN
Generasi Pemangkin semestinya punya syarat-syarat fundamental yang perlu dipenuhi pertamanya. Pra-syarat ini merupakan asas kepada setiap individu pejuang di kalangan generasi muda untuk bersiap siaga menemuhi medan perjuangan. Seumpama kita, sebelum diterima masuk untuk melanjutkan pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi, maka keputusan SPM atau STPM yang bersesuaian adalah diperlukan sebagai pra-syaratnya.
Begitu jugalah di dalam hal ini, sebelum boleh kita memangkin kecemerlangan umat, maka pra-syaratnya adalah seperti yang berikut untuk kita penuhi;
Spiritualisme (Kekuatan Rohani)
Kekuatan rohani merupakan pra-syarat yang utama yang perlu dipenuhi. Ini kerana, kekuatan rohanilah yang akan memacu kita dalam perjuangan ini. Memetik penjelesana Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam rancangan motivasi pagi Radio IKIM.FM, beliau membahasakan kekuatan rohani ini sebagai motivasi tulen yang memacu kita untuk terus berjuang. Maka persoalannya sekarang, di manakah sumber motivasi tulen ini?
Di sinilah tampaknya keutamaan dan kepentingan amal ibadah serta selawat. Amal ibadah sebagai zikir kita memperingati Allah s.w.t. pada setiap masa dan selawat sebagai cinta kasih kita kepada baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. Seperti yang dianjurkan Al-Quran dalam Surah ar-Ra’d, ayat ke-28;
“...ingatlah, hanya dengan mengigati Allah, hati menjadi tenteram”
Manakala satu-satunya suruhan Allah s.w.t. yang turut dilaksanakan oleh Allah s.w.t. sendiri adalah selawat ke atas baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. seperti yang terakam dalam Surah al-Ahzab, ayat ke-56;
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat untuk nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya”
Namun, kerana keras dan kotornya hati kita selama ini yang telah kita biarkan membatu dan bernanah, maka bukanlah suatu yang mudah untuk kita menyucikan hati kita melainkan dengan bimbingan daripada mursyid daripada para ‘alim ulama’ dan orang-orang soleh. Kerana itu kita dianjurkan untuk berdampingan dengan mereka sebagai wasilah untuk kita merapatkan diri dengan Allah s.w.t. dan baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. kerana mereka itu golongan yang berada dalam rahmat dan redha Allah s.w.t. dan warisan daripada baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. Merekalah yang seharusnya jadikan mursyid sebagai penunjuk jalan untuk sampai kepada Allah s.w.t. dan baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. Sabda baginda Muhammad Rasulullah s.a.w.;
“Para ulama adalah pewaris para nabi”
(H.R. Imam Abu Daud, Imam Tirmizi, Imam Ibnu Majah, Imam Ibnu Hibban)
Para sahabat, tanpa kekuatan rohani, maka mustahil Islam bertahan sehingga kini. Bayangkan, jika tidak kerana keteguhan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq menghadapi pemergian kekasihnya Nabi Muhammad s.a.w. adanya lagi cabaran ancaman kaum murtad, yang enggan membayar zakat, nabi palsu dan penjajahan dua kuasa adidaya ketika itu iaitu empayar Rom dan Parsi, maka mungkin tidak akan sampai Islam sehingga hari ini. Begitu juga, generasi Sultan Salahuddin dan Sultan al-Fateh, yang terkenal dengan generasi yang dibimbing hati mereka oleh mursyid mereka daripada golongan ‘alim ulama dan orang-orang soleh, di samping berjuang, amalan-amalan kerohanian bahkan ditingkatkan. Sehinggakan Sultan al-Fateh memastikan tenteranya bangun sepertiga malam dengan diimarahkan dengan solat-solat sunat.
Intelektualisme (Keluasan Ilmu)
Perjuangan menuntut kita untuk punya ilmu yang luas. Namun, harus diteliti apakah yang dimaksudkan dengan ilmu. Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas memperbaiki dan mengenengahkan semula definasi ilmu oleh Fakhruddin al-Razi seperti berikut;
“Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu”
Maka itu, untuk memperolehi ilmu maka seseorang itu harus berusaha untuk mendatangkan makna segala sesuatu kepada dirinya dan juga haruslah berusaha untuk mendatangkan dirinya kepada makna segala sesuatu. Justeru, pokok penting bicara ini adalah suapay setiap pejuang yang komited dan konsisten kepada perjuangan memangkin kecemerlangan umat harus berusaha sedaya upaya membudayakan ilmu dalam kehidupan seharian. Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud dalam bukunya “Penjelasan Budaya Ilmu” menyatakan;
“Budaya ilmu bermaksud kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun tidak langsung dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan”
Justeru sejauh manakh kita pada hari ini membudayakan ilmu dalam kehidupan seharian? Sekiranya kita gagal membudayakan ilmu, maka apakah yang dapat kita perjuangkan untuk diambil iktibar oleh umat? Jangan sampai apa yang dibahasakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai vicious circle menular dalam masyarakat sehingga tiada upaya lagi untuk diubati.
Dengan keluasan ilmu, maka generasi muda akan dipandang tinggi. Sekalipun Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ ‘Ulumuddin” telah membahagikan ilmu kepada dua iaitu ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah, generasi muda sebagai pemangkin kecemerlangan umat tidak boleh hanya membataskan ilmu kepada ilmu fardhu ‘ain sahaja. Kerana di zaman kontemporer ini, penguasaan ilmu fardhu kifayah merupakan nilai tambah yang akan mengangkat umat ini. Allah s.w.t. membezakan darjat di antara orang yang berilmu dengan orang yang jahil seperti yang terakam dalam Surah az-Zumar, ayat ke-9;
“...Apakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?...”
Idealisme (Ketinggian Pemikiran)
Generasi muda perlu mempersiapkan diri dengan ketinggian pemikiran. Umat diancam dengan serangan yang lebih berbahaya berbanding serangan secara fizikal. Sekiranya umat diserang secara fizikal, sekurang-kurangnya akidahnya masih utuh dan tetap. Namun hari ini, yang lebih berbahaya adalah apabila pemikiran umat diserang dari segenap sudut. Ancaman serangan pemikiran (ghazwatul fikr) ini sudah diutarakan ratusan tahun dahulu oleh pemimpin-pemimpin tentera salib setelah mereka tertewas dalam perang salib dalam menentang tentera Muslimin;
”Muslims should not be approached as people often do, by arms, but by words, not by force, but by reason, not by hatred, but by love.”
(Petrus Venerabilis, pemimpin tentera salib)
“Kita tak akan dapt kalahkan orang Islam selagi mereka rapat dengan kitab ini (al-Quran)”
(King Louis VII, pemimpin tentera salib)
Bukan sahaja pemikiran kita diserang dari luar, malah diserang pula daripada dalam oleh segolongan yang mengaku Islam namun berpegang kepada faham sekularisme, liberalism dan pluralisme. Mereka ini dengan bertopengkan Islam telah menjaja pemikiran sesat dan songsang sehingga telah merosakkan pemikiran umat. Di manakah generasi muda dalam mempertahankan umat?
Ketinggian pemikiran menuntut generasi muda untuk menggunakan keluasan ilmu mereka untuk beranjak ke peringkat seterusnya. Bukan hanya sekadar mempunyai ilmu, tetapi berupaya menggunakan ilmu untuk kecemerlangan umat. Kebijakan dalam menggunakan ilmu adalah suatu kemahiran yang amat didambakan umat untuk mengeluarkan umat daripada belenggu kejahilan yang melantun-lantun dek kerana sifat ananiyah yang menebal.
Generasi muda dengan idealisme diharapkan umat sebagai pagar membentengi rumah daripada serangan musuh. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki dalam ucapan dasarnya sebagai Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada tahun 2001 menjelaskan idealism merujuk kepada yakin dan faham akan prinsip asas perjuangan serta jelas dan bersungguh akan halatuju perjuangan bersandarkan kepada dua perkara pokok iaitu ‘amr ma’ruf dan nahy mungkar, seperti yang digariskan dalam Surah Al Imran, ayat ke-104;
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”
Aktivisme (Kesungguhan Usaha)
Walau bagaimana kuatnya rohani seseorang dan seluas mana pun ilmunya serta setinggi mana pun pemikirannya, namun jika tidak disertai kesungguhan usaha maka, kecemerlangan umat hanya tinggal angan-angan. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat ke-159;
“...Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh Allah mencintai orang yang bertawakkal”
Kesungguhan usaha menuntut generasi muda yang berjuang untuk memangkin kecemerlangan umat hanyut dibuai keasyikan dalam perjuangannya. Dan aktivisme yang digiatkan ini dipandu pula oleh kesegeraan yang sistematik seperti yang diungkapkan oleh John P. Kotter dalam bukunya “A Sense of Urgency”. Sekiranya aktivismenya tidak dipandu oleh suatu perencanaan maka jadilah ia seperti yang diungkap oleh Sayyidina Ali Abu Talib k.w.j.
“Kebenaran yang tidak terancang akan kalah kepada kebatilan yang terancang”
Perlu sentiasa diingat bahawa golongan yang memerangi Islam akan sentiasa mencari kelemahan dan kekurangan umat untuk dihunjam dengan segalam macam serangan yang berencana. Peringatan yang terakam dalam Surah al-Baqaroh, ayat ke-120;
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).”
Ahmad Abd Al-Mun'im Al-Badri dalam bukunya “Tanzim Haraki” menggariskan tanzim dalam sesebuah gerakan Islam memerlukan tiga elemen utama iaitu Qiyadah (kepemimpinan), Jundiy (tentera) dan Khittah (perencanaan). Maka itulah, generasi muda sebagai pemangkin kecemerlangan umat harus bergabung tenaga dalam sebuah tanzim menuruti saranan Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” dan tampil ke barisan hadapan perjuangan untuk kecemerlangan umat dengan khittah (perencanaan) yang sempurna. Mengimani firman Allah s.w.t. dalam Surah as-Saff, ayat ke-4;
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh”
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
JARINGAN PEMERSATU UMAT
Usaha untuk kemanfaatan agama masakini bukanlah satu tugas yang mudah. Ditambah lagi, dengan keadaan umat yang dirundung nestapa, ditimpa kemunduran di hampir setiap aspek kehidupan. PERKEPIS tidak dapat bergerak dengan sendirian. Untuk memangkin kecemerlangan umat memerlukan kerjasama yang erat dengan sahabat-sahabat perjuangan meski berbeza firqah.
PERKEPIS harus melebarkan interaksi ukhuwah alamiyah (menyeluruh) yang merentas firqah. Hakikatnya ada satu jemaah, iaitu jemaah umat Islam. Firqah ini merujuk gerakan-gerakan Islam ini yang bersatu pada matlamat akan tetapi mempunyai kaedah pembawaan dan pendekatan yang tersendiri. Masing-masing firqah mempunyai kekuatan yang tersendiri, dan mungkin juga ada kelemahannya. Kita tidak mahu adanya perasaan rasa siapa yang lebih baik, prejudis, cakap belakang-belakang atau seumpamanya kerana ini akan menghilangkan keberkahan perjuangan.
Namun demikian, kekuatan-kekuatan ini tidak seharusnya menjadi kekuatan-kekuatan yang terpecah-pecah. Meskipun PERKEPIS agak lama terlibat dalam arena dakwah, namun PERKEPIS sendirian tidak mampu untuk menghadapi dan membantu masalah-masalah umat. PERKEPIS menyeru agar kita mengekalkan ukhuwah rentas firqah ini berasaskan matlamat menjaga, mempertahankan dan keteguhan umat. Firqah ini menjadi jaringan pemersatu dan juga sahabat dalam memberikan komitmen dengan lapangan yang berbeza, akan tetapi kebersamaan dalam misinya. Jaringan ukhuwah alamiyah yang mantap membolehkan rencana bersama dapat dilaksanakan.
Kita mengimbau keberhasilan ukhuwah rentas firqah ini dalam sejarah. Sultan Abdul Hamid II (1842-1918), khalifah Daulah Uthmaniyyah berwibawa terakhir merupakan contoh kontemporer yang terbaik. Menurut sebuah kajian tesis Ph.D oleh Dr. Eeman Mohamed Abbas dalam bukunya “Sultan Abdul Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiah: Peranan Gerakan Nasionalis dan Minoriti”, nyata bahawa jaringan pemersatu ini telah membuahkan hasil yang mengagumkan.
Paduka Sultan Abdul Hamid II telah memanfaatkan segala sumber yang ada dalam umat Islam di kalangan ulama, ahli fikir, pemimpin-pemimpin, ahli sufi dalam merealisasikan rancangan Kesatuan Islam baginda. Hasilnya, baginda telah menyatukan umat yang berpecah-pecah dan mendapat sokongan padu dari segala ceruk dunia Islam. Sehinggakan, Barat dengan sedaya upaya menjadikan baginda sebagai sasaran nombor satu untuk dijatuhkan, lantaran karismanya. Ini jelas sekali, apabila cendiakawan Barat mengatakan bahawa seandainya pengganti-pengganti sultan Uthmaniyyah selepas ini mempunyai kualiti seperti baginda, maka umat Islam ini akan bangkit semula seperti masa dahulu.
Umat Islam terdahulu berjaya dikuasai musuh kerana perpecahan merekah secara total telah hancur musnah. Lihat sahaja dalam tahun 1948, apabila negara haram Israel diisytiharkan, bangsa-bangsa Arab yang sudah berpecah di kepada negara kecil Mesir, Jordan, Syria, Lubnan dan Iraq telah bertindak balas menyerang bangsa Israel. Walaupun tentera Arab mempunyai jumlah tentera yang ramai, terlatih dan adanya senjata yang lebih baik, namun akhirnya diusir oleh tentera Israel. Begitu juga nasib perjuangan mereka yang berpecah-pecah mengakibatkan kekalahan demi kekalahan pada tahun 1956, 1967 dan 1973.
Aspek yang utama dalam jaringan pemersatu ini ialah dengan bersikap non-partisan. Sikap non-partisan bermaksud berpegang kepada kebenaran tanpa dipengaruhi oleh semangat ataupun sentimen mana-mana pihak. Sikap non-partisanmenghindarkan diri daripada menutup akal dan jiwa kita boleh menyuburkan sikap fanatisme.
Jaringan pemersatu ini perlu diambil dengan serius. Kerana kita sudah terlalu lama di dalam lingkungan kebiasaan kita. Berusaha bersendirian akan mengakibatkan keletihan dan putus asa. Dengan adanya rangkaian sahabat-sahabat, maka beban-beban ini digalas bersama.
Hadirin dan hadirat yang dikasihi,
WANITA BUKAN SEKADAR PENUMPANG
PERKEPIS ingin memperkemas barisan dengan mengambil berat akan peranan wanita. Peranan wanita terutamanya dalam Islam tidak dapat dinafikan sama sekali. Wanita adalah sayap kiri pemimpin di kalangan kaum lelaki, mereka menjadi pembantu dan penguat kepada perubahan yang positif.
Peranan Saidatina Khadijah al-Kubro dalam sejarah perjuangan memartabatkan Islam menjadi contoh abadi. Betapa beliau seorang wanita, turut memikirkan dan terlibat dengan jiwa sebagai pejuang. Beliau mendampingi baginda Rasulullah s.a.w ketika dakwah baginda gencar diperangi. Beliau juga sebagai ibu, aktif dalam perniagaan. Beliau antara tulang belakang yang mengekalkan survival umat Islam ketika mereka dipulaukan bersama Bani Hasyim ketika boikot 3 tahun oleh Musyrikin Quraisy.
Wanita dalam gerakan Islam perlu mengambil iktibar yang ditonjolkan oleh Saidatina Khadijah. Jadikanlah diri sebaga sayap kiri yang berjuang seiringan dan bukan sekadar penumpang yang menunggu sampai ke destinasi perjuangan dengan celotehan hak diri yang tidak akan sudah.
Jadikan diri sebagai pejuang, berhenti berfikir tentang diri sendiri. Akan tetapi renungkan betapa andainya jika kita tidak berperanan, apakah yang akan jadinya kepada masyarakat? Adakah kita punya jawapan kepada aliran-aliran warisan golongan sufastaiyyah yang mencaca-merba fikiran masyarakat? Kita tidak mahu kekeliruan yang membungkam masyarakat terus dibiarkan dan semakin dikellirukan. Golongan tersebut yang mempermudah hal-hal yang teguh dalam agama agar dirungkaikan, dengan alasan untuk membebaskan wanita daripada kekolotan. Akan tetapi sebenarnya ingin membebaskan wanita daripada norma-norma baik yang ditentukan oleh agama.
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
RAKAN PEMBANGUNAN NEGARA DAN AGAMA
Dalam perjuangan untuk memangkin kecemerlangan umat generasi muda diseru untuk tidak meminggirkan diri daripada arus perdana. Sebaliknya, menjadi sebahagian daripada meraka yang turut serta dalam pembangunan negara dan agama secara langsung mahupun tidak langsung. Mengambil semangat motto PERKEPIS “Berjasa Kepada Masyarat” selari dengan sabda baginda Muhammad Rasulullah s.a.w.;
“Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat untuk manusia lain”
(H.R. Qudha’i)
Kita mengambil iktibar daripada umat terdahulu yang cemerlang terbilang. Generasi muda diberikan tempat yang istimewa dalam Islam, seperti yang dirakam dalam al-Quran. Antaranya adalah termaktub dalam Surah Kahfi, ayat ke-13:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Nabi Muhammad s.a.w) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami (Allah) tambahkan petunjuk kepada mereka.”
Para anbiya dan orang-orang muda yang berjaya pada umat dahulu adalah pencinta kebenaran, penjunjung gemala ilmu pengetahuan, bersemangat waja dan sanggup membawa beban tanggungjawab amanah agama. Terlalu banyak contoh yang termaktub bahawa perubahan adalah dicetuskan oleh orang-orang muda.
Generasi muda tidak seharusnya mengambil sikap tidak endah terhadap isu-isu semasa yang melanda umat ini. Sikap meletakkan diri dalam ketidakpedulian terhadap isu umat dan sentiasa berada dalam zon selesa adalah sikap yang membunuh diri. Merasakan umur masih muda, umur panjang lagi, masa untuk bersuka ria natijahnya kelak akan hanya menitis air mata andai kata ada perubahan semasa yang menyulitkannya suatu hari kelak. Sudah terhantuk baharu nak terngadah. Menyesal tiaganguna apakala nasi sudah menjadi bubur. Sebaliknya, sikap kepedulian dan ikut serta dalam mencipta umat yang cemerlang ini seharusnya menjadi sebahagian daripada diri. Baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a.,
"Barangsiapa yang tidak memerhatikan (memikirkan) masalah kaum Muslimin, maka dia bukan dari golongan mereka"
(H.R. Baihaqi)
Seorang cendiakawan Islam terdahulu, iaitu Amir Shakib Arslan dalam bukunya “Our Decline: Its Causes and Remedies” beliau menegur umat Islam yang berpeluk tubuh dan tidak mahu terlibat dan berkorban untuk umat. Beliau menyatakan bahawa anak-anak muda bangsa Eropah menyanggupi untuk berperang demi negara mereka. Beliau memberikan perbandingan dengan bangsa-bangsa lain pada zaman 1920-an tersebut yang mencurahkan segala harta dan kekuatan untuk memperteguh bangsa masing-masing. Analogi ini mungkin tepat dan masih relevan dengan keadaan kita sekarang. Di manakah kita orang muda? bukankah itu menunjukkan keadaan masih sama seperti lebih kurang seratus tahun lampau? Kita renungkan.
Hadirin dan hadirat yang dikasihi,
Penutup
Marilah kita bersama-sama berganding bahu, bermula dari sekarang. Penyakit umat yang menjalar sehingga ke pembuluh darah masyarakat perlu dibedah dan diubati, agar ia tidak mati. Ingatlah, bahawa masa hidup di dunia ini bukanlah igauan permainan yang indah semata-mata, akan tetapi ia harus diisi dengan sepenuhnya. Sesungguhnya, Islam menantikan kebangkitan kita semua. Marilah kita terlibatlah dalam Generasi Pemangkin yang Mencipta Kecemerlangan Umat. Jangan kita menyesal seumpama seorang sahabat Nabi s.a.w yang menangguhkan janjinya untuk bersama baginda ketika dakwahnya sebelum Hijrah. Hanya pada ketika kemasukan ribuan tentera Islam ketika peristiwa Fathul Makkah pada 8 Hijrah barulah ia menyesal mengapalah tidak mendampingi Rasulullah s.a.w sejak awal-awal dahulu. Akhir kata, renungkanlah rangkap-rangkap pantun ini, yang dinukilkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam “Risalah Untuk Kaum Muslimin” beliau:
Sifat sejarah, menurut orang,
Ibarat pentas bermain wayang,
Cerita lampau dihurai dalang,
‘Pabila tamat segera diulang.
Jika demikian mustahil pantang,
Giliran Islam pula mendatang,
Lakonan lama indah gemilang,
Di layar dunia semula terbentang.
Allahu Akbar! Allahu Akbar!Allahu Akbar! Walillahil Hamd...
*disampaikan pada 11 Jun 2011 (Sabtu) di Pusat Latihan Sarawak (PLS) JAKIM, Telaga Air, Kuching untuk Persidangan Mahasiswa Islam Sarawak (PERMIS) 2011 bersempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) ke-14
Comments
dating sites