Institusi Islam Gagal Bukan Lesen Murtadkan Muslim

Kegagalan institusi Islam dalam melaksanakan kerja mereka bukanlah lesen untuk orang Islam lebih-lebih lagi orang bukan Islam untuk memurtadkan orang Islam. Kes pemeriksaan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Dream Center milik salah sebuah gereja di Damansara Utama telah membangkitkan isu kemiskinan dan kebajikan di kalangan orang Islam yang menyebabkan wujudnya golongan orang Islam yang sanggup menggadai akidah mereka untuk mendapat pembelaan kebajikan dan kewangan.

Benar, memang terdapat ketirisan dalam pelaksanaan tugas oleh institusi Baitulmal dalam pentadbiran Islam di negeri-negeri. Bukan sahaja di Selangor, bahkan turut wujud di negeri-negeri lain. Antara punca yang ditimbulkan adalah, birokrasi terlampau, pengkalan data  yang bermasalah dan tentu sekali politik!

Saya boleh faham kenapa birokrasi amat dijaga oleh institusi Baitulmal. Kerana dalam Islam kita ada asnaf-asnaf yang ditetapkan untuk layak menerima zakat. Sebagai contoh asnaf fakir miskin. Namun, apakah tanda aras untuk menunjukkan kefakiran dan kemiskinan seseorang atau sesebuah keluarga itu? Birokrasi dalam hal ini bertujuan untuk menapis orang yang selayaknya untuk menerima bantuan zakat daripada Baitulmal. Namun, perlu diberi perhatian, Baitulmal tidak boleh hanya duduk di pejabat menunggu borang permohonan samapi di meja kerana ORANG FAKIR MISKIN MEMANG BENAR WUJUD DAN KERANA ITU MEREKA TIDAK DAPAT SAMPAI KE BAITULMAL.



Pihak penganjur "Thanksgiving" di Dream Center seperti yang didakwa perlu telus dalam hal ini. Kita faham bahawa setiap agama akan mahu berdakwah. Tapi dalam hal ini, perlu diingat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi panduan untuk warganegara hidup aman dan harmoni. Kalau dah terang jelas dalam Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan meletakkan suatu had melalui undang-undang Negeri dan Persekutuan daripada berdakwah agama selain Islam kepada orang-orang Islam. Jadi, kenapa perlu timbulkan kontroversi dengan melibatkan orang Islam dalam majlis tersebut. Saya melihat salah satu rakaman pemeriksaan JAIS ke atas Dream Center, terdapat seorang lelaki "Islam" di hadapan sedang memberi pengakuan dirinya yang telah murtad. Jadi, APA SEBENARNYA OBJEKTIF MAJLIS TERSEBUT?

Ya, politik memainkan peranan penting dalam semua negara. Masalahnya di negara kita, saya ingat politik sudah menjadi suatu dadah untuk ahli-ahli politik kita. Ada undang-undang, tapi dilaksanakan atas tafsiran sendiri. Mana-mana yang dah terlalu susah nak ditafsir, maka ditentang pulak.

Saya ingat, kalau sekali kita dah bagi peluang untuk hak dan status Islam di Malaysia diperleceh dan dipersendakan, maka ia akan membuka ruang yang lebih luas untuk Islam akan terus diancam pada masa akan datang di Malaysia.

Comments