Ameen Cakap Apa?
Seronok dengar bayi bercakap. Lebih-lebih lagi kalau bayi tu anak kita. Ingin sangat nak tahu apa yang mereka bicarakan untuk jadi pedoman kita, ibu bapanya dalam mendidik mereka. Masyhur bicara orang lama-lama, bayi sudah pandai berkomunikasi dengan lisan bahasanya tersendiri. Bahasa kita yang dah "matang" memang tak sama dengan bahasa bayi. Bayi bercakap dengan bahasa yang mereka buat-buat sendiri. Fitrah.
Yang atas tu anak sulung saya. Khairul Ameen Bin Khairul Anwar. Usia baru masuk tujuh (7) bulan. Saya dan isteri saya perasan, bila usianya masuk 6-7 bulan, Ameen banyak mengeluarkan suara/bunyi yang baru baginya. Bercakap dengan kita. Ameen cakap apa?
Contoh bila dia meneran, menunjukkan antara dua perkara. Samada Ameen nak buang air besar atau Ameen nak tarik perhatian orang kat dia. Contoh lagi bila Ameen buat batuk kecil berterusan, menunjukkan Ameen nak benda yang dalam pegangan kita. Contoh lagi lagi, menjerit tak tentu pasal di hadapan orang ramai menunjukkan dia tengah gembira diperhatikan orang ramai. Banyak lagi suara/bunyi yang Ameen buat. Saya dan isteri cuba untuk faham setiap yang Ameen cakap.
Bualan saya dan isteri saya. Saya tanya apa beza bayi dan orang dewasa dalam mempelajari sesuatu bahasa. Sebab kalau nak ikutkan, bayi sedang belajar bahasa yang asing dan baru baginya. Orang dewasa yang nak belajar bahasa lain pun sedang belajar suatu bahasa yang asing dan baru baginya. Isteri saya jawab, bezanya, otak bayi baru mula mengenal makna dan bahasa sekaligus. Orang dewasa dah tahu makna cuma tinggal nak belajar bahasa lain dalam menterjemahkan makna tu.
Saya senyum sumbing bila dengar Ameen mula "bercakap". Walaupun tak berapa nak faham apa yang Ameen cakap. Yang penting, saya tahu Ameen sedang belajar bercakap dengan bahasa kita. Memang ambil masa. Saya nak ajar Ameen Bahasa Melayu dulu. Lepas tu saya dan Ameen nak masuk kelas Bahasa Arab. Supaya Ameen kenal dan saya pun kenal Bahasa Al-Quran. Lepas tu baru ajar Ameen Bahasa Inggeris.
"Tidaklah jahil manusia dan tidaklah pula mereka bertelagah kecuali kerana mereka meninggalkan lisan (bahasa) Arab dan beralih kepada lisan (bahasa) Aristotle"
-Imam As-Syafi'ie kata-
Comments