Antara Kuasa dan Sikap Politik
Saya kira sudah menjadi resam politik partisan di Malaysia untuk setiap tindakan parti pemerintah mahupun pembangkang akan dipertikai niatnya oleh lawan/saingan mereka. Setiap tindakan akan dilabel sebagai strategi politik. Biar pun benar itu hakikatnya, adakah salah untuk kita teguh dengan prinsip, yang benar kita sokong, yang salah kita tentang?
"There is no good faith in partisan politics"
-saya kata-
Parti-parti politik di Malaysia jarang mengiktiraf lawan/saingan mereka. Samada melalui sokongan apatah lagi pujian tanpa diselitkan dengan nota kaki yang sarkastik. Ia satu perkara yang taboo dalam kalangan politikus Malaysia. Bagi mereka, pengiktirafan melalui sokongan atau pujian kepada lawan/saingan politiknya akan merendahkan sentimen politik rakyat kepada mereka.
Setiap tindakan oleh lawan/saingan politik akan dicongak dengan formula politik. Kalau kerajaan buat, pembangkang mesti bangkang. Kalau pembangkang buat, kerajaan mesti halang. Tak hairanlah kalau Malaysia lambat mencapai status negara maju. Kerana kita bergelumang dengan politik partisan hampir setiap hari. Tanpa ada ruang dan peluang untuk kerajaan dan pembangkang bergandingan memajukan Malaysia secara bersama.
Jepun bangkit daripada kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki dengan drastik sehingga mampu menjadi gergasi elektronik dan industri berat. China, sekalipun dengan ideologi komunisme nya mampu membawa diri dalam dunia demokrasi sehingga menjadi antara kuasa ekonomi dunia. Kita di atas runtuhan Kota Melaka?
Sebagai contoh yang paling dekat, kita lihat keputusan kerajaan melalui perutusan khas Datuk Seri Najib sempena Hari Malaysia tempoh hari dan maklumbalas segera oleh para pemimpin pembangkang.
Benar, beberapa keputusan-keputusan kerajaan dalam perutusan tersebut adalah antara yang diperjuangkan oleh pembangkang seperti yang terkandung dalam Buku Jingga. Malah, sebelumnya lagi pun sudah lama perjuangan untuk mansuhkan ISA, hak berhimpun aman, kebebasan media dimulakan oleh pihak lain. Apalah salah kiranya bagi kerajaan untuk menyelitkan sedikit penghargaan kepada pembangkang dan pihak berkaitan sebagai kuasa pengimbang untuk membantu kerajaan dalam mencapai objketif transformasi politik seperti yang diikrarkan sebelum ini.
Dalam pada itu, berdepan dengan permulaan bergaya oleh kerajaan untuk melaksanakan transformasi politik Malaysia, adakah perlu untuk tindakan bersejarah oleh kerajaan ini disambut dengan ulasan-ulasan sarkastik oleh para pemimpin pembangkang dan para penyokongnya? Tidakkah lebih mudah untuk kita menerimanya dengan sokongan dan pujian sebagai motivasi kepada kerajaan untuk bersikap lebih terbuka dalam menerima suara pembangkang? Malah, kesediaan kerajaan untuk melaksanakan transformasi politik dengan perubahan-perubahan awal seperti yang diumumkan, adalah satu pengiktirafan tidak langsung buat pembangkang.
Sikon politik kita di Malaysia dicengkam kuat oleh sikap dan mentaliti negara dunia ke-3. Benci, dendam, ego, untung dan segala macam. Sehingga menutup ruang dan peluang untuk kita berganjak mencipta definasi politik negara maju yang lebih mulia. Kerana itu saya kira, berbanding perubahan kuasa, apa yang lebih perlu bagi kita di Malaysia adalah perubahan sikap!
SELAMAT HARI MALAYSIA!
Comments