Dato Seri Abu Bekir, Politik dan Kepimpinan

Saya sentiasa ingat pepatah yang menjadi azimat buat semua khususnya para pemimpin kita;

"Kepimpinan Melalui Tauladan"

Sengaja saya ungkapkan pepatah ini untuk renungan kali ini. Untuk sama-sama kita beringat khususnya para pemimpin yang menerajui kita di setiap lapisan masyarakat. Jangan jadi macam;

"Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari"

Kerana kalau itu yang jadi, maka parahlah negeri Sarawak yang sama-sama kita cintai ini. Yang kita harapkan untuk memimpin kita rupanya tiada ketokohan dan akhirnya menyebabkan natijah yang lebih rosak kepada rakyat yang dipimpin dek kerana tiada tauladan yang baik untuk diikuti daripada pemimpin yang memimpin mereka.

Saya sebenarnya hairan. Walaupun sebenarnya tak perlu dihairankan. Sebab bila bicara tentang politik, apa sahaja boleh jadi. Saya bukan ahli mana-mana parti dalam BN di Sarawak. Saya juga bukan ahli mana-mana parti pembangkang di Sarawak. Tapi saya seorang rakyat yang punya perhatian yang tinggi tentang pembangunan di Sarawak.


Saya tidak kenal ketokohan Dato Seri Abu Bekir sebelum kes fasakh nya disensasikan media. Lebih-lebih lagi beliau adalah anak sulung Pehin Sri Taib Mahmud tentu sahaja kesnya jadi perhatian umum. Kali terakhir saya ikuti perkembangan kes itu, beliau telah sah bercerai dengan isterinya dengan talak satu. Cuma kes tuntutan mutaah masih lagi berjalan dengan jumlah yang bukan kepalang besarnya.

Cerita baru timbul, Dato Seri Abu Bekir disebut-sebut dan disokong-sokong oleh para politikus negeri untuk menggantikan adiknya Dato Seri Sulaiman Abdul Rahman untuk bertanding di Parlimen Samarahan malah turut dicalonkan untuk kerusi Ketua Pemuda PBB. Dato Seri Asfia Awang Nassar, Datin Fatimah Abdullah, Datuk Idris Buang dan Dato Amar Awang Tengah antara yang mendahuli sokongan terhadap beliau.

Walaupun selepas semua ini, saya masih tidak kenal ketokohan Dato Seri Abu Bekir. Ya, mungkin kerana saya bukan ahli PBB apatah lagi aktif dalam PBB dan itu merupakan sebab besar kenapa saya tidak kenal ketokohan Dato Seri Abu Bekir. Ingin juga saya tanyakan kepada ahli-ahli PBB, apa ketokohan Dato Seri Abu Bekir?

Kerana saya ini rakyat, orang luar PBB dan juga mungkin mewakili sejumlah individu rakyat yang lain yang mahu kenal ketokohan Dato Seri Abu Bekir. Setakat ini, yang menyokong beliau semuanya politikus ternama PBB. Belum lagi saya dengar atau baca, rakyat Sarawak atau lebih khusus rakyat parlimen Samarahan yang menyokong beliau melainkan ahli-ahli PBB sendiri di kawasan tersebut. Seingat saya, bukan ahli PBB sahaja yang mengundi. Kerana itu amat penting untuk seseorang pemimpin yang dinaikkan bagi mewakili rakyat harus seorang yang dikenali ketokohannya oleh rakyat dan bukan setakat dikenali oleh ahli atau pemimpin PBB sahaja.


Ketokohan sahaja pun belum tentu cukup. Kerana Hosni Mubarak juga punya ketokohan yang tinggi. Begitu juga Elizabeth Wong, Dato Seri Dr. Chua Soi Lek dan Bill Clinton. Tentu sahaja kita mahu pemimpin yang punya ketokohan yang baik untuk menjadi tauladan kepada rakyatnya. Yang dapat mendidik rakyatnya agar dapat "kencing duduk".

Comments