Eidulfitri, Ziarah & Ukhuwwah

Terus terang, memang Eidulfitri kali ini terasa kelainannya. Besar kemungkinan kerana Ramadhan berlalu pergi yang telah saya persiakan. Ada juga kemungkinan kerana suasana Eidulfitri yang tiba ini sememanya agak janggal daripada yang sudah-sudah. Apa-apapun, saya berdoa dan mohon doa daripada sahabat semua untuk saya dipanjangkan usia untuk ketemu lagi dengan Ramadhan yang mendatang dan akan terus datang serta diberikan taufiq dan hidayah untuk memanfaati Ramadhan kelak agar beroleh taqwa yang saya cari-cari.

Syawal yang tiba, dirai seperti lumrah kebiasaannya. Namun, saya cuba untuk kurangkan kadar kegembiraan yang dizahirkan kerana teringat dengan status di laman sosial facebook saya;

"Tak malu ke mengejar Syawal kalau Ramadhan entah ke mana"
- saya kata -


Mengenangkan Ramadhan saya kali ini yang telah saya kecewakan. Sengaja saya memudarkan kegembiraan Syawal yang tak layak untuk saya. Memang malu mengejar Syawal disebabkan Ramadhan yang dibiarkan berlalu tanpa erti.

Apa-apa pun, saya susah untuk meninggalkan satu kebiasaan di bulan Syawal yang saya anggap sebagai ruang dan peluang diberikan kepada kita iaitu ziarah. Eidulfitri, sesuai dengan keraiannya, untuk menyambut kemenangan selepas membentuk diri kembali menjadi fitrah atau paling tidak pun mendekati fitrah. Fitrah seumpama kain bersih suci kerana dijanjikan kepada kita yang berpuasa dengan iman dan pengharapan di bulan Ramadhan dengan pengampunan akan dosa-dosa silam (mafhum hadith riwayat Bukhori dan Muslim)

Cuma perlu diingat, yang diampunkan oleh Allah s.w.t. itu adalah dosa kita pada-Nya sedangkan dosa kita pada makhluknya hanya akan diampunkan Allah s.w.t. hanya selepas mendapat kemaafan daripada makhluk yang kita salahi. Maka itu, ziarah di bulan Syawal menjadi satu ruang dan peluang untuk kita menyambungkan silaturahim yang telah putus dan merapatkan ukhuwwah silaturahim yang telah sedia ada

Sekalipun, ziarah boleh sahaja dilakukan pada bulan-bulan selain Syawal, namun kelaziman kita yang baharu selesai melalui didikan Ramadhan menjadikan diri kita kembali kepada atau mendekati fitrah. Fitrah manusia sememangnya suka akan kebaikan dan ketenangan. Maka itu, Syawal merupakan tempoh masa yang cukup molek untuk setiap kita berziarahan di antara satu sama lain. Malah, sekalipun jauh pada pandangan mata dan tidaklah kesampaian zahir diri kita kepada orang yang ingin kita ziarahi, ucapan "Selamat Hari Raya" dan "Maaf Zahir Batin" juga amat bererti dan memadai untuk menunaikan makna ziarah. Kerana itu ziarah di bulan Syawal sudah pasti lebih manis dan mudah untuk mencapai objektif ukhuwwah silaturahim berbanding ziarah di bulan-bulan lain.

Amat besar kerugian bagi mereka mengurung diri di bilik dan rumah masing-masing tatkala sanak saudara, sanak saudara dan jiran tetangga saling berziarahan antara satu sama lain mengucapkan ucapan kegembiraan Syawal dan menghulur kemaafan. Dan rugi juga buat meraka yang mengambil sikap berdendam menyimpan hati atas kesalahan yang dilakukan orang ke atas mereka. Malah lebih rugi lagi bagi mereka, apakala kita menyambungkan silaturahim dan merapatkan ukhuwwah, mereka pula menyebarkan kebencian dan menyuburkan perpecahan dalam kalangan kita. Orang sibuk buat kawan, mereka sibuk mencari lawan.

Ada pula kalangan kita yang terlalu berkira dalam berziarahan. Kerana tidak diziarahi, maka kita mengambil sikap yang sama untuk tidak menziarahi. Malah lebih memusnahkan makna ziarah di bulan Syawal apakala niat ziarah bukan pada Allah s.w.t. dan bukan pada Rasulullah s.a.w. tetapi pada dapatan laba dunia seumpama kontrak, wang ringgit dan segala macam yang tidak membantu objektif ziarah.

"care less for what others do to you, care more for what you do to others"
- saya kata -

Kerana itu, ketika saya berziarahan bersama isteri Aisah Munirah Wahi dan anak yang baru mencapai usia 7 bulan ke rumah-rumah sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga, tidak pernahlah saya memikirkan samada yang diziarahi itu pernah atau tidak menziarahi saya sekeluarga. Dan tidaklah pula saya memikirkan samada yang diziarahi itu akan membalas ziarah saya. Hanya silaturahim dan ukhuwwah yang saya dambakan daripada semua yang saya ziarahi. Ternyata lebih ramai lagi yang belum saya ziarahi kerana kesempatan yang terbatas, namun saya kirimkan Salam Eidulfitri dan mohon Maaf Zahir & Batin.

Semoga ukhuwwah silaturahim kita kekal utuh dan direzekikan oleh Allah s.w.t. akan kesatuan umat Sayyidina Muhammad Rasulullah s.a.w. di bawah panji-panji Islam. Taqabbalallahu minna wa minukum wa shiamana wa shia makum...


Comments