Kuali Bekas Babi...

Saya baru balik daripada Kursus Manikayu Pengakap Peringkat 3A selama 3 hari 2 malam di Ibu Pejabat Pengakap Sarawak di Batu Lintang. Kursus ala perkhemahan bersama 30 orang peserta yang kebanyakannya adalah Cina. Saya ingat saya boleh hitung dengan jari jumlah peserta Melayu dan Dayak. India memang tak ada.

Menjadi golongan minoriti di kursus itu adalah satu pengalaman yang menarik. Sekurang-kurangnya kita dapat selami seketika fikir-rasa golongan minoriti di Malaysia ni. Memamng bukan mudah jadi minoriti. Tapi yang ini kita cerita lain hari.

Antara tugasan yang diberikan adalah untuk menyediakan sarapan, makan tengahari dan makan malam sendiri oleh patrol-patrol yang dibahagikan. Nak dijadikan kisah, saya memang tak bawak apa-apa pun peralatan memasak. Ahli patrol saya ada 8 orang, cuma saya dan seorang pakcik yang dah bersara sahaja yang Melayu. Yang lain Cina dan Dayak.


Tengah kami sibuk menyediakan makan tengahari, saya terkejut bila ahli patrol saya, seorang Cina bertanya; "you ok ka kalau masak guna ini kuali?" saya gamam sebentar. Apa yang tak ok nya. Saya jawab "ok, no hal punya". Lepas tu, sedang saya bersihkan ikan, baru otak saya dapat tangkap maksud soalan dia.

Saya tanya balik; "itu kuali siapa punya? ada masak itu babi ka?". Dia pulak terkejut; "ada. ini kuali kami punya". Saya pun terkejut balik. Saya diam sekejap nak fikir apa reaksi yang sepatutnya saya tunjukkan.

Saya cakap; "oh... itu macam. Tak apa lah. Boleh guna, no problem. Tapi bagi saya cuci dulu, boleh?" Untungnya, Ketua Patrol kami seorang Dayak yang dah lama bergaul dengan Melayu. Dia menyampuk; "kau pegi samak (sepatutnya sertu) dulu lah".

Saya pun senyum. Saya bergegas ke tapak khemah kami. Saya korek tanah yang dalam sikit, cari yang segar. Bawak balik ke tempat kami memasak. Cuci kuali dan sudip tu dengan air tanah sekali basuhan dan air paip 6 kali basuhan. Selesai.

Tak susah mana pun. Islam tak larang pun guna kuali dan sudip yang dah diguna untuk masak benda haram. Islam ada cara untuk menyucikannya. Soalnya sekarang, mahu tak mahu dan buat tak buat je. Islam adalah agama fitrah yang mudah dilaksanakan. Jangan jadikan Islam sebagai alasan untuk kesukaran bergaul dengan masyarakat bukan Islam.

Saya hargai perhatian ahli patrol saya yang bertanyakan keizinan saya untuk menggunakan kuali dan sudip bekas babi tu. Sekurang-kurangnya menunjukkan sesuatu yang amat positif. Iaitu timbang rasa dan hormat menghormati antara Bukan Muslim dengan Muslim.

Cuma satu yang saya tak sempat nak buat. Penerangan kepada ahli patrol saya. InshaAllah jumpa mereka lagi dalam Kursus Manikayu Pengakap Peringkat 3B nanti.

Comments

firdaus khairi said…
Memang konsisten dengan pengakap. Tahniah.Banyak perkara yang dapat dipelajari.=)
ayam kampung said…
sekali berpengakap... terus berpengakap... abang bila lagi? hehe...
firdaus khairi said…
Enta tak dakwah abg dulu..tak dapat hidayah lagi ni