Cuti Dua Hari
Minggu lepas saya ambil cuti kecemasan dua hari untuk jaga anak saya yang demam. Ameen mula demam daripada hari Jumaat sebelumnya berlanjutan hingga hari Selasa. Suhu badannya meningkat sehingga 39 darjah celcius. Matanya mengeluarkan tahi lebih daripada kebiasaan secara belanjutan. Walaupun matanya tidak menunjukkan tanda kemerahan seperti konjuntivitis, tapi untuk langkah kesalamatan Ameen direhatkan di rumah untuk elak daripada bergaul dengan kawan-kawan sebayanya di pusat asuhannya.
Cuti dua hari dalam hari bekerja tidak sama dengan cuti hujung minggu. Cuti hujung minggu, selalunya akan diisi dengan aktiviti keluarga (berjalan-jalan atau kemas rumah) dan masyarakat (hadir kenduri atau program). Walaupun tujuan cuti saya adalah untuk jaga anak saya. Tapi, kebanyakan masa Ameen tidur kerana tidak bermaya untuk bermain seperti biasa. Jadi saya ada banyak masa kosong. Saya susah hati setiap kali bila ambil suhu Ameen dan mendengar Ameen menangis tak bermaya.
Cuti dua hari saya beri banyak masa untuk saya berfikir tentang diri sendiri. Cerita dulu-dulu, cerita sekarang dan cerita masa depan. Saya pernah ada perancangan hidup yang saya rencanakan sehingga umur saya menjangkau 40 tahun. Alhamdulillah dengan izin Allah s.w.t., 25% perancangan saya terlaksana dengan baik, cemerlang dan ada juga yang setakat melepas batuk di tangga. Bila tengok-tengok balik perancangan hidup saya, tak semuanya kekal relevan dan praktikal bila dilihat dan difikir dengan mata dan akal sekarang.
Dalam saya merancang hidup saya dahulu, saya sudah tetapkan fikiran bahawa perancangan hanya perancangan. Kerana bagi saya, ia satu tuntutan dalam Islam untuk bersifat dengan keteraturan. Sebab dalam Islam juga diajar bahawa, kita manusia hanya mampu merancang. Kerana Allah jua lah yang punya sebaik-baik perancangan untuk kita. Jadi, perancangan yang saya aturkan semuanya tertakluk kepada izin Allah s.wt.
Kahwin dan punya anak adalah satu titik yang penting dalam kehidupan. Biarpun cerita-cerita kejayaan demi kejayaan hidup kawan-kawan sekolah saya dalam kerjaya dan akademik mereka memang membanggakan. Bila saya perhatikan balik, kahwin dan punya anak menjadi perbezaan antara saya dan mereka. Saya tidak pernah menyesal berkahwin dan punya anak boleh dikatakan lebih awal daripada kawan-kawan saya yang lain. Walaupun saya punya cita-cita dalam kerjaya dan akademik yang ingin saya miliki, tapi saya sedar kahwin dan punya anak punya signifikan tersendiri dalam kehidupan kita. Saya kahwin dan punya anak kerana ingin mengikuti sunnah baginda Nabi Muhammad
Lebih-lebih lagi dengan kerjaya isteri saya sebagai Pegawai Perubatan. Perancangan hidup saya untuk mengejar cita-cita dalam kerjaya dan akademik saya kini lebih mencabar. Orang boleh buat persepsi bahawa isteri perlu ikut suami atau suami lebih utama. Bagi saya itu bukan menjadi soal sekarang. Saya akur, tugas isteri saya sebagai pegawai perubatan adalah satu fardhu kifayah baginya. Lebih-lebih lagi sebagai seorang perempuan. Dan yang lebih penting, isteri saya sedar akan tugasnya sebagai isteri dan ibu kepada anak kami adalah fardhu ain. Kerana itu saya sentiasa mendoakan agar isteri saya sentiasa diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran menjalankan tugas-tugasnya.
Kahwin dan punya anak memerlukan saya lebih bertoleransi dalam merancang kehidupan. Kerana hidup saya kini bukan hidup saya seorang. Tapi adalah hidup isteri saya dan hidup anak saya dan akan datang anaka-anak saya. Yang penting kini, sejauh mana saya komited dengan cita-cita saya dan kebijakan untuk melibatkan isteri dan anak saya dalam perancangan hidup untuk mencapai cita-cita yang saya impikan. Supaya kejayaannya nanti akan lebih manis kerana bukan disebut kejayaan saya seorang tetapi kejayaan isteri saya dan anak-anak saya. Itu lebih manis.
Nanti kalau ada kelapangan, saya ingat nak kongsi pengalaman sikit dalam tajuk Bersediakah Menjadi Bapa?
Comments