Mulia Kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم



Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. 
(Surah al-Ahzab: 56)



Sungguh, bergemuruh hati saya sepanjang menonton klip video di atas. Tatkala bekas minuman baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم    dibawa masuk ke Chechnya oleh Ramzan Akhmadovich Kadyrov, Presiden Republik Chechnya. Tergambar nyata betapa kasih dan cinta seluruh Republik Chechnya kepada baginda Rasulullah   صلى الله عليه  وسلم    dengan sambutan dan perarakan masuk gilang-gemilang bekas minuman baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم    ke negara itu. Bekas minuman baginda Rasulullah  صلى الله عليه  وسلم  dinyatakan oleh Ramzan diperolehinya sebagai penghormatan kepada Chechnya daripada keluarga warisan baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم   daripada Sayyidina Ali Bin Abi Talib karramallahu wajhah yang menetap di London.


Takbir dan selawat ke atas baginda Rasulullah     صلى الله عليه  وسلم    oleh seluruh warga Chechen yang menyambutnya amat mengharukan diri yang lalai dan leka daripada baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم. Tangisan sedu sedan warga Chechen tatkala bibir mereka menyentuh bekas minuman baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم    kerana rindu mereka kepada baginda Rasulullah  صلى الله عليه  وسلم   amat mengujakan diri yang jauh sekali daripada baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم. Sungguh, zahir kasih dan cinta warga Chechen pada baginda Rasulullah  صلى الله عليه  وسلم begitu hangat berbanding diri cuma bijak mengaku kasih dan cinta pada baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, audara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya, dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab siksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq (derhaka)".
(Surau al-Taubah: 24)


Daripada Sayyidina Anas rodiallahuanhu, bahawa Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم   bersabda:
"Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya"
(H.R. al-Bukhori, Muslim dan Nasaie)

Tiadalah dimuliakan bekas minuman itu melainkan kerana bibir baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم    yang pernah menyentuhnya untuk meneguk air. Tiadalah dimuliakan umat ini melainkan kerana menjadi umat kepada baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم    yang diwariskan dengan Islam.   Tiadalah dimuliakan seluruh alam ini melainkan kerana kelahiran baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم    sebagai rahmat dan cahaya yang meneranginya.


Daripada Sayyidah Aishah rodiallhuanha, sabda baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم   :
Berkata Jibril 'alaihissalam, "Aku telah memeriksa timur dan barat bumi ini, maka aku belum pernah mendapati seorang lelaki yang lebih mulia daripada Muhammad   صلى الله عليه  وسلم   dan tidak pernah menemui bani yang lebih afdhal daripada Bani Hasyim".
(H.R. al-Tabrani, al-Baihaqi dan lain-lainnya - dishohihkan oleh Imam al- Hafiz Ibnu Hajar)

Apakah kita peduli sebenarnya kepada baginda Rasulullah   صلى الله عليه  وسلم yang sentiasa peduli kepada kita. Hatta pada ambang kewafatan baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم    pun baginda Rasulullah   صلى الله عليه  وسلم masih peduli akan untung nasib kita dengan ingatan, "Ummati... Ummati... Ummati...". Kasih dan cinta  baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم   yang dicurahkan kepada kita tiada pernah kendur mahupun padam malah sentiasa hidup pada mereka yang mengasihi  baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم.

Tiadalah berkurang sedikit manapun kemuliaan baginda Rasulullah     صلى الله عليه  وسلم    tanpa kita mencurahkan kasih dan cinta kepada baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم.   Kerana kemuliaan itu sendiri adalah daripada anugerah Allah s.w.t. ke atas baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم   selaku makhluk termulia yang paling dikasihi oleh-Nya. Maka segala setiap sesuatu apapun pasti akan meningkat mulia dengan berkait kepada baginda Rasulullah      صلى الله عليه  وسلم.    Tiadalah baginda Rasulullah صلى الله عليه  وسلم   perlu akan kasih dan cinta kita melainkan kitalah yang sebenarnya perlu akan kasih dan cinta baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم.   Kasih dan cinta kita kepada Allah s.w.t. dan baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم   adalah untuk memperolehi darjat kemuliaan sebagai syarat untuk dibangkitkan bersama baginda Rasulullah  صلى الله عليه  وسلم  di akhirat kelak dengan penuh keselamatan dan kesejahteraan yang abadan abada.

Daripada Sayyidina Anas rodiallahuanhu, bahawa seorang lelaki menemui Nabi      صلى الله عليه  وسلم     lalu dia berkata:
"Bilakah akan berlaku hari Kiamat, wahai Rasulullah? (Dia bertanya sedemikian seolah-olah berasa rindu kepadanya). Jawab Baginda     صلى الله عليه  وسلم,    "Apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari Kiamat?" Jawabnya, "Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan sembahyang, puasa (yang dimaksudkan adalah solat dan puasa sunat) atau pun bersedekah tetapi aku amat kasih kepada Allah dan Rasul-Nya". Sabda Baginda     صلى الله عليه  وسلم    "Kamu akan bersama dengan orang yang kamu kasihi".
(H.R. al-Bukhori, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

Namun, yang ternyata pasti akan jaminan rugi, baik di dunia apalagi di akhirat kelak adalah mereka yang menyombong diri daripada Allah s.w.t. dan baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم.   Disandarkan darjat kemuliaan yang mereka impikan itu pada makhluk yang tiada berpunya akan anugerah kemuliaan daripada Allah s.w.t. melainkan kehinaan semata-mata. Disandarkan kemuliaan itu kepada pangkat dan harta. Disandarkan kemuliaan itu pada ilmu dan amal ibadah. Disandarkan kemuliaan itu pada diri dan kaum kerabat. Namun semua itu tiada berguna tanpa kemuliaan baginda Rasulullah   صلى الله عليه  وسلم   padanya. Dan akhirnya kelak, kasih dan cinta yang tersalah mereka curahkan itu, tiadalah akan dapat membantu mereka tatkala dibangkitkan bersama di akhirat kelak.

Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم   bersabda:
"Sesungguhnya perumpamaanku dan umatku adalah seperti seorang yang menyalakan api yang mengakibatkan binatang-binatang melata dan nyamuk terperangkap ke dalam api tersebut. Aku sudah berusaha memegang ikat pinggang kalian namun kalian malah menceburkan diri ke dalamnya".
(H.R. Abu Hurairah - Shohih Muslim)

Sungguh, bergembira para sahabat baginda Rasulullah  صلى الله عليه  وسلم menyambut helaian rambut baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم   yang jatuh ketika dicukur. Sungguh, bersyukur para sahabat baginda Rasulullah صلى الله عليه  وسلم   menangguk air peluh yang gugur daripada baginda Rasulullah   صلى الله عليه  وسلم   ketika tidur. Sungguh, berebut-rebut para sahabat baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم     mengambil air bekas wudhu' baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم.  Sungguh, berlumbaan para sahabat baginda Rasulullah  صلى الله عليه  وسلم   menyimpan baju bekas pakaian baginda Rasulullah  صلى الله عليه  وسلم. Sungguh, berpesta Yathrib menyambut ketibaan baginda Rasulullah  صلى الله عليه  وسلم   ketika berhijrah untuk memimpin Islam menuju kejayaan. 

Tabarruk para sahabat kepada baginda Rasulullah   صلى الله عليه  وسلم sebagai bukti kasih dan cinta  kepada baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم   kerena kemuliaan baginda Rasulullah   صلى الله عليه  وسلم   yang tiada bandingan di sisi Allah s.w.t. Kerana itulah maka, selamat dan sejahtera mereka dengan darjat kemuliaan yang diperolehi mereka daripada tabarruk mereka kepada kemuliaan baginda Rasulullah  صلى الله عليه  وسلم.  Beruntunglah warga Chechen memperoleh bekas minuman baginda Rasulullah   صلى الله عليه  وسلم   untuk diambil berkat daripada kemuliaan baginda Rasulullah   صلى الله عليه  وسلم   yang pernah meneguk air daripadanya.

Apakah pula untuk kita yang hina di sini? Melainkan selawat dan salam yang tiada berpenghujung ke atas baginda Rasulullah   صلى الله عليه  وسلم,   semulia-mulia mahkluk di sisi Allah s.w.t. Tabarruk kita kepada sunnah amalan dan segala apapun yang terkait kepada baginda Rasulullah   صلى الله عليه  وسلم   kerana kemuliaan baginda Rasulullah  صلى الله عليه  وسلم    di sisi Allah s.w.t. Mudahan selamat sejahteralah kita di dunia dan akhirat kelak dengan syafa'at baginda Rasulullah    صلى الله عليه  وسلم.

Jika benar kasih dan cinta yang kita ungkapkan kepada Allah s.w.t. dan baginda Rasulullah  صلى الله عليه  وسلم maka zahirkanlah dengan mencintai dan mengasihi kekasih yang diangkat oleh Allah s.w.t. dengan kemuliaan yang tiada bandingan. Allahumma sholli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi washohbihi wasallim.


Comments