AUKU Sampai Bila ?
Keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 15 (5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai tidak sah di sisi undang-undang tentu sekali menarik perhatian banyak pihak. Keputusan yang berpihak kepada 'UKM 4' mungkin memaksa UKM untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan. Kerana dengan keputusan ini keseluruhan Seksyen 15 dikira berlawanan dengan hak kebebasan bercakap dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Malah tidak berlebihan untuk dikatakan, kredibiliti AUKU sebagai undang-undang persekutuan tercalar dengan keputusan ini.
Keputusan ini bakal merubah lanskap politik di Malaysia dengan penglibatan mahasiswa secara langsung tanpa sebarang sekatan lagi. Melainkan UKM merayu dan Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan ini. Namun buat masa sekarang, biarlah kita bergembira dengan keputusan ini seadanya. Baca:
Dalam soal pinda atau mansuh, saya kekal dengan pandangan bahawa AUKU mesti dikekalkan namun perlukan pindaan terhadap peruntukan-peruntukan yang berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan khususnya tentang hak dan kebebasan. Tidak semua peruntukan dalam AUKU berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan. Banyak juga peruntukan dalam AUKU yang membantu pengurusan universiti dan kolej universiti di Malaysia. Jangan kerana nyamuk seekor, habis kelambu dibakar.
Akademik & Politik
Pandangan bahawa penglibatan mahasiswa dalam politik secara langsung adalah suatu yang dangkal. Bukan kerana keterlibatan dalam politik yang menjadikan
mahasiswa lalai dan leka daripada tumpuan kepada akademik. Kalau nak dijadikan alasan, mahasiswa yang sibuk berniaga ketika belajar, mahasiswa yang terlibat dengan gejala sosial, mahasiswa yang hanyut dibuai percintaan dan bermacam lagi, semua itu boleh menyebabkan masalah tumpuan kepada akademik. Kenapa politik perlu menjadi kambing hitam? Yang menentukan kejayaan atau kegagalan mahasiswa dalam apa-apa bidang pun yang diceburinya adalah sikap!
Memang tidak semestinya dengan terlibat dalam politik akan mencerna intelektual mahasiswa. Banyak lagi cara lain yang lebih senang dan lebih mulia daripada terlibat dalam politik untuk meningkatkan daya intelektual mahasiswa. Tapi ini bukan lesen untuk sekat mahasiswa yang mahu terlibat dalam politik untuk membangkitkan keintelektualannya.
Pandangan yang menyarankan mahasiswa untuk habis belajar terlebih dahulu sebelum berkecimpung dalam arus perdana politik negara juga dangkal. Sedangkan heboh serata negara kita buat kempen daftar pemilih dan turun mengundi, tapi kita larang daripada berpolitik. Tidakkah mengundi itu sendiri tindakan politik?
Secara purata, mahasiswa tamat pengajian di universiti dalam sekitar usia 20-25 tahun. Kita tak dapat tunggu mahasiswa habis belajar baru mahu bertateh dalam politik negara. Ini melambatkan proses kematangan generasi muda berpendidikan. Kita sudah tentu tidak mahu graduan yang naif tentang politik tanpa kepedulian terhadap negara. Melentur buluh biar daripada rebungnya. Sampai bila kita nak lihat universiti keluarkan robot yang hanya tahu bangun, kerja, makan dan tidur?
Keterlibatan mahasiswa dalam politik negara perlu tampil sebagai sebuah kuasa ketiga. Bukan kuasa yang menjadi kuda kerajaan mahupun pembangkang. Hanya dengan sikap non-partisan, mahasiswa mampu tampil sebagai kuasa penyeimbang. Bersuara dan bertindak dengan prinsip kebenaran dan keadilan dalam isu dan bukan kerana condong kepada mana-mana parti politik.
Kuasa Mahkamah
Mahkamah Rayuan punya kuasa untuk menilai keabsahan suatu undang-undang untuk memelihara Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan memerlukan untuk sebarang undang-undang yang berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah dikira batal setakat yang berlawanan itu.
Kita diminta untuk terima AUKU kerana ia adalah undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA). Saya cuma nak timbulkan beberapa persoalan. AUKU lulus di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, siapa majoriti ahli dewan? Adakah ahli dewan bertindak atas kepentingan parti atau kepentingan rakyat?
AUKU dapat perkenan YDPA, adakah YDPA punya pilihan selain daripada memperkenankannya? Seksyen 64 (4) dan (4A) Perlembagaan Persekutuan memaksa YDPA untuk memberi perkenan kepada AUKU untuk digazetkan sebagai undang-undang yang sah. Kalau tak diperkenan dalam tempoh 30 hari, maka AUKU akan tetap digazetkan sebagai undang-undang yang sah. Kuasa De Jure YDPA tidak akan dapat melawan kuasa de facto yang dipunyai kerajaan yang memerintah.
Jangan semberono menilai keputusan mahkamah. Integriti mahkamah perlu dipertahankan. Hanya golongan jahil yang berkepentingan sahaja yang menyokong mahkamah bila keputusan mahkamah menyebelahinya dan menuduh mahkamah dengan segala macam tuduhan bila keputusan mahkamah menentangnya.
Comments