Hati Rosak Kerana Pujian
Bukan senang untuk mengawal dan mendidik hati yang sudah sekian lama terbiasa dengan pujian dan pengiktirafan. Hati yang disuap dengan ucapan pujian dan kata-kata manis, akan terus hanyut dalam pengangungan diri sendiri. Hati yang sentiasa menunjuk jaguh dan mendabik dada, mengangkat diri sebagai yang paling berilmu dan berpengalaman. Hati yang sentiasa mencari perhatian untuk terus disuap dengan pujian dan pengiktirafan.
Kerana itu pada saat hati mula untuk dikawal dan dididik, maka meronta-rontalah hati keenganan. Menangislah hati kerana dijauhkan daripada pujian dan pengiktirafan. Mengamuklah hati kerana ditutup pintunya daripada menunjuk kejaguhan. Merayulah hati supaya belenggunya dilonggarkan;
"Kenapa tidak nama aku yang disebutnya? Sedangkan kerana akulah maka semua ini berjaya dilaksanakan. Tidakkah dia lihat apa yang telah aku lakukan?"
"Sialan, adakah dia fikir dia seorang yang mampu membuat pekerjaan itu! Sedang aku mampu buat lebih baik daripada itu"
"Pandangan aku nyata lebih bernas daripada pandangannya. Rugilah buat mereka sekiranya pandanganku didiamkan sahaja"
"Kebodohan apakah yang membelenggu ini? Sehingga sanggup aku membatu diri membiarkan mereka memperkecil memandang rendah padaku?
Hati menjadi ujub dan takbur kerana pujian dan pengiktirafan. Menghilangkan rasa hina dan dhoif di sisi Penciptanya. Hati yang sakit dihinggap penyakit ananiyah (ke'AKU'an). Marah apabila tidak dihormati. Sedih apabila tidak dihargai. Kecewa apabila dipersia dan direndahkan oleh makhluk.
Perlu apakah hati merasa gembira kerana pujian dan pengiktirafan makhluk? perlu apakakah pula hati merasa marah, sedih atau kecewa kerana tidak mendapat perhatian makhluk? Sedangkan yang empunya segala yang diguna untuk meraih ucapan pujian dan kata-kata manis makhluk adalah asalnya daripada Allah s.w.t. Yang Maha Mencipta Yang Memiliki segalanya. Wahai hati ini, perhatian apakah yang ditagih daripada makhluk sedangkan tidak pula kita mahu merasa diperhatikan Allah s.w.t.
Ya Allah, betapa berat ujian dan dugaan yang Kau timpakan padaku. Betapa payah untukku mengawal dan menahan hati ini daripada lumrah kebiasaannya. Tumpah gugur air mataku mendidik hati ini untuk tunduk dan berserah pada keagungan-Mu. Bukan mudah untukku kembali ke jalan kehinaan dan kedhoifan selaku hamba-Mu. Berikanlah aku taufiq dan hidayah dalam menjalani mujahadahku menuju kepada keredhaan-Mu ya Allah.
Ya Allah, bantulah aku untuk mengawal dan mendidik hatiku daripada kerosakan penyakit ananiyah. Jauhkanlah aku daripada tumpuan dan perhatian makhluk-Mu. Cucurilah aku dengan perhatian rahmat dan berkat-Mu. Rezekikanlah kepadaku cinta kasih Sayyidina Muhammad s.a.w. untukku turut jalan baginda yang mulia. Bantulah hamba-Mu ini ya Allah.
Comments