Hello Abi... Bila Mok Balit?

Hello Abi (baca: Ayah)... Bila mok (baca: nak) balit (baca: balik)?

Gambar Ameen kat atas tu, Uminya yang ambik masa di rumah. Kemudian Uminya letak dalam Facebook dengan kapsyen "Hello Abi... Bila Mok Balit?" Saya masa tu, ada mesyuarat Sukarelawan al-Falah Sarawak di pejabat. Mesyuarat baru bermula pukul 9.00 malam walaupun sepatutnya bermula 8.30 malam. Tak hairanlah pukul 11.00 malam baru selesai. Bila sampai ke rumah, tengok-tengok Uminya dan Ameen dah elok dibuai mimpi.

Saya tenung wajah Uminya dan Ameen. Haru hati saya tak sempat nak bergurau senda dengan Uminya dan Ameen malam ni. Saya memang berusaha nak selesaikan urusan luar saya di malam hari seawal yang mungkin. Kalau boleh, biar sebelum Ameen tutup mata tidur, saya orang terakhir yang dilihatnya dan bila Ameen buka mata bangun tidur, saya orang terawal yang dilihatnya.

Kasihan Uminya yang dah sehari suntuk kepenatan di hospital. Daripada 6 pagi sampai 6 petang. Bukan mudah jadi Pegawai Perubatan merangkap sebagai Isteri dan Ibu. Banyak benda yang Uminya kena korban. Tambah lagi nanti bila Uminya dah diterima masuk untuk sambung pengajian Sarjana dalam bidang pembedahan am. Tambah tambah lagi nanti bila Ameen dah ada adik.
Rasulullah s.a.w. bersabda "Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak mempunyai budi pekerti."
(H.R. Abu Asakir).

Tengah saya makan malam seorang diri sambil melayar Facebook sebelum tidur baru saya sedar gambar tadi yang Uminya ambik. Tersentuh sangat dengan kapsyen Uminya. Tak jadi tidur, saya duduk menenung wajah Uminya dan Ameen puas-puas. Saya tertanya-tanya, berperanankah saya sebagai suami kepada isteri saya dan bapa kepada anak saya?

Minggu ni memang kacau sikit masa saya bersama keluarga. Setiap malam akan ada urusan di luar. Dan mungkin akan berlanjutan untuk tempoh yang agak lama. Saya tak pasti. Selalunya awal tahun, agensi-agensi kerajaan dan separa kerajaan yang berorientasikan program akan bercuti sehingga bajet tahunan masuk dalam bulan Mac atau April. Agensi tempat saya berkerja pun tak terkecuali. Tapi, saya tak boleh duduk diam. Tak ada program kena buat program. Tak ada duit kena cari duit. Apa tyng penting, menjadi manfaat untuk umat tak boleh jadi macam chipsmore, sekejap ada sekejap tak ada.
Rasulullah s.a.w. bersabda "Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain"
(H.R. Bukhori)
Saya mengaku cemburu bila membandingkan diri dengan orang sekeliling yang punya masa yang cukup banyak. Ada yang sibuk dengan majlis-majlis ilmu ke sana ke sini mengejar keberkatan para mu'allim dan masyaikh. Ada jugak yang penuh masanya bertemu dan berhubungan dengan masyarakat sekeliling menabur budi dan jasa. Tak kurang jugak tenggelam asyik dalam diskusi ilmiah dan kitab yang dibaca dan dikaji. Saya memang cemburu.
"Tuntutlah ilmu dari semenjak buaian hingga ke liang lahad"
(Kalam Ulama' Salaf)
Tapi cemburu macam mana pun, tak adil untuk saya samakan masa saya dengan masa orang lain. Saya ada isteri dan anak. Saya juga masih ada ibu bapa dan adik-adik yang masih di bangku persekolahan. Orang lain yang saya bandingkan mungkin masih belum punya komitmen selain daripada diri sendiri dan keluarga mereka. Saya cuma yakin, masa yang ada pada saya sudah pun dihabiskan sebaiknya untuk kewajiban-kewajiban yang melingkari hidup saya.
"Kewajiban itu lebih banyak daripada masa yang ada"
(Kalam al-Fadhil as-Syaikh Imam Hassan al-Banna)


Setiap orang diberi tempoh masa yang sama. 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Sendiri punya masa, sendiri mesti tahu lah. Kalau dah tengahari baru nak bangun tidur lepas tu nak beralasan tak cukup masa, itu memang nak kena ketuk dengan kayu nona. Ke mana pergi kewajiban solat? ke mana pergi amalan sunat? Orang putih main bolasepak pukul 2-3 pagi, kita boleh pulak bangun. Tapi untuk qiamullail dan subuh, bukan main punya susah kita nak angkat. Pokoknya, sendiri mahu sedar ke mana masanya dihabiskan. Kalau dah dihabiskan untuk benda yang tak memberi manfaat untuk kebaikan diri dan umat, sendiri kena malu lah. Malu kepada Allah s.w.t. dan Sayyidina Muhammad s.a.w.
Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri r.a. Beliau berkata Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.”
(H.R. Bukhori)
Saya tak nak Uminya hidup sebagai isteri dan ibu tanpa suami sebagai tangan kanannya. Saya tak nak Ameen membesar tanpa Abinya yang membuka pintu kematangan dan menyuluh jalan kebenaran untuknya. Saya tak nak Ibu Bapa saya menghabiskan sisa usia mereka dengan merasa kehilangan anak sulungnya.

Begitu pun cinta dan kasih saya kepada ibu bapa, isteri, anak dan segala apa pun yang dalam jagaan saya, perlu sentiasa diingat;
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya, dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab siksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)".
(at-Taubah: 24)
 "Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya".
H.R. Bukhori, Muslim & Nasaie)
Saya mohon daripada keluarga dan sahabat-sahabat pembaca untuk mendoakan agar saya diberikan oleh Allah s.w.t. akan segala kebaikan seperti yang dipohon oleh baginda nabi Sayyidina Muhammad s.a.w. dan dijauhkan oleh Allah s.w.t. daripada segala keburukan seperti mana yang dipohon untuk dijauhkan oleh baginda nabi Sayyidina Muhammad s.a.w. Maka begitu jualah doa saya buat kalian. Ameen.

Saya rasa keluarga saya jarang baca atau tak pernah langsung baca blog saya ni. Isteri saya mungkin lebih kerap. Yang pastinya anak saya memang tak pernah langsung baca blog saya. Kalau dalam alam nyata sukar saya nak lafaz kalam ni (sebab ego). Sementara di alam maya ni saya zahirkan;

Saya sayang mak, saya sayang bapak, saya sayang Sayang, saya sayang Ameen, saya sayang Hafiz, saya sayang Nisa, saya sayang Syahirah, saya sayang Boboy dan saya sayang sahabat-sahabat semua. Maaf kalau tak dapat jadi anak, suami, bapak, abang dan sahabat yang baik untuk kalian semua. Peluk cium daripada saya. :)

Comments

latt said…
siapa bilang gue jarang jiarah ke mari. selalu kok. ampir setiap ari. kakak aja yg enggk tau dong. gue juga sayang dong sama lor ;)