Tokoh Politik Kaum Melayu Ada Berani?
Tahniah INSAP & ASLI atas penganjuran Debat antara DS Lim Guan Eng dan DS Chua Soi Lek. Tajuk Kaum Cina Malaysia Di Persimpangan Politik sekurang-kurangnya mempamer pendirian sebenar tokoh kaum Cina yang mewakili parti masing-masing tentang hampir semua perkara yang berkaitan kaum Cina di Malaysia. Ini termasuklah isu-isu yang bersangkut dengan Melayu dan Islam di Malaysia.
Tolak ke tepi samada apa yang dihujahkan adalah betul atau salah kerana ia memerlukan medan ruang dan peluang yang lebih luas untuk dihujahkan. Sekurang-kurangnya debat itu menyuburkan lagi usaha mematangkan budaya politik di Malaysia. Perlu diingat, debat itu bukan permulaan kerana sudah banyak debat-debat kecil mahupun besar namun tidak disensasikan tentang isu semasa melibatkan tokoh-tokoh politik kerajaan mahupun pembangkang.
Namun sepanjang pengetahuan saya, tidak pernah sama sekali tokoh politik kaum Melayu sepentas berdebat demi kebaikan maa hadapan kaum Melayu di Malaysia. Adapun tokoh-tokoh Melayu berdebat di pentas yang sama hanya membicarakan isu semasa yang sifatnya umum. Contohnya debat antara DS Anwar Ibrahim dan DS Ahmad Shabery Cheek suatu ketika dahulu.
Dua tokoh politik kaum Cina ini mewakili parti yang dianggotai oleh majoriti kaum Cina di Malaysia berdebat secara terbuka perkara-perkara yang menjadi isu dalam kaum Cina di Malaysia. Termasuklah pendirian mereka terhadap hukum Hudud dan hak keistimewaan Melayu hasil daripada soalan-soalan yang dikemukan oleh hadirin. Sekalipun tidak ada kena mengena secara langsung dengan kaum Cina, namun mereka sedar bahawa isu-isu seperti itu memberi kesan kepada kehidupan sebagai warganegara di Malaysia.
Soalnya sekarang, samada tokoh-tokoh politik kaum Melayu berani berdiri sepentas untuk berhujah memaklumkan pendirian mereka tentang semua perkara yang berkaitan kaum Melayu di Malaysia. Ini termasuklah, isu-isu sensitif yang selama ini dibiarkan kabur selama ini seperti Kontrak Sosial, peritiwa 13 Mei, hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu dan banyak lagi. Namun, saya tidak rasa agama dapat dijadikan isu yang boleh tokoh politik kaum Melayu debatkan sekalipun daripada PAS tanpa disertai oleh para alim ulama yang bersifat non-partisan.
Sekurang-kurangnya debat antara DS Lim Guan Eng dan DS Chua Soi Lek membuka mata bahawa kaum Cina mampu untuk bersetuju untuk berbeza dengan aman. Adakah kita kaum Melayu mampu untuk menunjukkan peradaban yang sama atau lebih baik? Emosi, sentimen dan partisan menjadi racun yang akan membakar hati para hadirin dan tentu sekali tokoh yang berdebat. Mampukah kita menanganinya dengan profesional dan berdebat dengan ilmiah?
Dengan segala macam pendirian yang ditayangkan oleh dua tokoh politik kaum Cina tempoh hari, adakah kita kaum Melayu masih mampu berwatak Pak Pandir? Secara tidak langsung, debat mereka itu telah menyampaikan maksud jelas kepada seluruh Malaysia tentang apa yang kaum Cina mahu daripada kaum lain khususnya Melayu di Malaysia. Kebijakan mereka menyampaikan pendirian mereka kepada umum di Malaysia dalam bentuk yang tidak langsung merugikan politik mereka adalah suatu yang dikagumi akan keberanian dan kelancangannya.
Jadi bagaimana? Tokoh politik kaum Melayu ada berani?
Comments