"Potong Jari Saya... Dia Memang Dah Hilang Dara !"

Khamis lepas, saya bertandang di sebuah sekolah antara Maghrib dan Isya' untuk menyampaikan Kuliah Motivasi Islami secara bulanan di sekolah tersebut. Selesai menunaikan Solat Isya' sedang dijamu dengan bubur ayam bersama guru-guru sekolah tersebut, ketika itulah guru tersebut membuka pekung para pelajarnya.

Guru tersebut berbangga dengan perkataan-perkataan yang pernah diucapnya untuk men'didik' para pelajarnya seperti "celaka", "sial", "pelacur" dan banyak lagi perkataan-perkataan jargon dalam kategori sumpahan. Guru tersebut menceritakan tentang peristiwa tangkapan terhadap pelajarnya yang menipunya dan ibu bapa pelajar tersebut dengan bermalam di rumah teman lelakinya. Saya terkedu bila guru tersebut sanggup bersumpah dalam tuduhannya terhadap pelajarnya;

"Potong Jari Saya... Dia Memang Dah Hilang Dara !"

Wah, terkejut beruk saya bila dengar ucapan ni keluar daripada mulut seorang GURU! Memang betul-betul tak sangka. Lancang sungguh mulutnya mengungkapkan tuduhan itu terhadap pelajarnya. Kalau betul pun tuduhannya itu, saya tak rasa ada mana-mana kitab pun yang dapat mendefinasikan ucapannya itu sebagai satu pendidikan kepada para pelajarnya.


Gambar Hiasan
Saya faham benar perangai para pelajar sekolah tersebut. Bukan sekali dua saya bertandang di sekolah tersebut. Malah ramai juga mentee saya yang telah pun tamat persekolahan daripada sekolah tersebut. Memang difahami akan kemarahan dan kekecewaan para guru sekolah tersebut terhadap majoriti para pelajar mereka.

Tapi, saya tak rasa itu menjadi lesen untuk para guru menggunakan perkataan-perkataan yang tidak beradab terhadap para pelajarnya. Apatah lagi untuk menuduh dengan tuduhan yang cukup berat iaitu berzina!

Betapa beratnya pertuduhan zina, Islam mewajibkan untuk didatangkan empat orang saksi yang melihat dengan mata kepala mereka sendiri akan tindakan masukan alat sulit lelaki ke dalam alat sulit perempuan yang dituduh untuk melayakkan kedua-dua tertuduh dihukum dengan hudud. Sekalipun para ahli fiqh berbeza pendapat dalam pembuktian pertuduhan zina dengan qarinah, namun paling jauh pun sekiranya dibuktikan dengan qarinah, kedua-dua tertuduh hanya boleh dihukum dengan takzir dan bukannya hudud.

Bagaimana pula dengan guru ini yang sanggup bersumpah potong jarinya semata-mata mahukan yang mendengar ceritanya percaya bahawa pelajarnya telah pernah berzina. Saya beristighfar panjang sepanjang dalam perjalanan kembali ke rumah daripada sekolah tersebut.

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya untuk terbebas daripada melakukan perbuatan, ucapan mahupun iktikad hati yang batil. Semoga Allah s.w.t. mengampuni dosa-dosa yang kita lakukan dalam keadaan jahil. Dengan keberkatan dan kemuliaan baginda Sayyidina Muhammad s.a.w., semoga Allah s.w.t. golongkan kita dalam golongan yang beruntung di dunia dan khususnya di akhirat.

Comments

RyRS said…
Jangan putus asa daripada rahmat Allah S.W.T....
ayam kampung said…
inshaAllah. mohon didoakan bersama.