Didik Hati, Transform Diri!

Alhamdulillah. Malam Transformasi Belia Islam 2012 berlangsung selayak dengan persiapan dan persediaan seadanya dalam tempoh dua minggu di Kompleks Belia dan Sukan pada Sabtu lalu. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada In-Track selaku penganjur utama di atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya. Tak lupa juga buat rakan kerjasama iaitu Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak selaku penaja utama, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak, Insight Holidays dan Hotel Arif.


Namun yang selayaknya mendapat kredit daripada kelancaran dan kejayaan yang terzahir dalam program tersebut adalah seluruh Ahli Jawatankuasa (AJK) pelaksana yang menjadi sebab kepadanya. Sekalipun tanpa sebarang imbuhan material, AJK program tersebut bersatu dan berpadu demi melancar dan menjayakannya. Tahniah dan terima kasih buat Sukarelawan Al-Falah (SAF) Sarawak, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), Siswazah Muda ABIM (SISMA) dan individu-individu prihatin yang terlibat. Dan biar kita tidak lupa, laa haw lawala quwwata illa billah al'aliyyill 'azim. Semuanya bukan atas daya dan kekuatan kita melainkan atas daya dan kekuatan Allah s.w.t. jua.

Izinkan saya ulas beberapa perkara daripada program tersebut sebagai iktibar kita bersama di hari-hari mendatang.



Hikmah as-Syuyukh wa Hamasatus Syabab
Alkisahnya, sedang salah seorang AJK bertugas menggantung kain rentang untuk promosi Malam Transformasi Belia Islam 2012 di pagar sebuah masjid ternama di Petra Jaya, Kuching, tiba-tiba seorang pakcik bermotorsikal datang hampir dengannya. Pakcik itu mula memulas minyaknya demi menghasilkan bunyi deruman motorsikalnya untuk menarik perhatian AJK tersebut.

AJK tersebut berhenti mengikat tali terakhir penggantungan kain rentang dek kerana tidak dapat mengelak daripada tertarik dengan bunyi deruman motorsikal pakcik itu. Dan pakcik itu pun mula membuka peti suaranya dengan luas untuk menghasilkan suara tinggi demi menyatakan bahawa AJK tersebut telah melakukan kesalahan menggantung kain rentang di pagar masjid tanpa keizinan tuan rumah. AJK tersebut cuba berbincang dengan suara rendah demi menghormati usia pakcik itu yang sudah dilambai kubur. Namun sia-sia kerana disambut dengan nada dan intonasi yang semakin meninggi tanpa kompromi.

Maka AJK tersebut mengalah dengan membuka satu persatu tali kain penggantungan kain rentang dan pakcik itu pun mula mengibarkan baju apabila memecut laju motorsikalnya tanda kemenangan dalam peperangan itu.

Ya, saya akui memang AJK tersebut bersalah kerana menggantung kain rentang tanpa keizinan daripada pihak masjid  sekalipun sudah diingatkan dan AJK itu juga sedar akan kesalahannya. Namun, soalan-soalan saya untuk iktibar kita bersama;
  1. Adakah perlu pakcik itu memulas minyak motorsikal untuk menghasilkan deruman motorsikal demi menarik perhatian AJK tersebut? Tidakkah salam dan sapaan sudah memadai?
  2. Adakah perlu pakcik itu meninggikan suaranya dan mengeraskan intonasi bicaranya untuk berbincang dengan AJK tersebut? Tidakkah suara yang jelas dan intonasi yang lembut sudah memadai?
Gambar Hiasan
Sungguh saya kasihan kepada pakcik itu dan mereka yang seragam dengannya. Mereka yang berusia (as-Syuyukh), seharusnya berwatak selayak dengan usia mereka. Semakin meningkat usia, seharusnya semakin meningkta jualah hikmah dalam tutur dan lakunya. Lebih-lebih lagi dalam berdepan dengan semangat baik yang berkobar pada mereka yang lebih muda (as-syabab). Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
"Sesiapa yang tidak mengasihi orang muda dan tidak mengenali hak orang tua maka bukan dari kalangan kami."(H.R. Abu Daud)

Ukhuwwah Fillah Abadan Abada
Saya tak dapat menyembunyikan kegembiraan saya apabila dapat berkerjasama dengan para belia daripada pelbagai latar belakang dalam satu jawatankuasa. Apabila saya gembira, tutur dan laku saya kadang-kadang terlampau daripada kebiasaan. Kawan-kawan rapat mungkin sudah masak dengan saya. Untuk itu, saya mohon ampun dan maaf sekiranya ada tutur dan laku saya yang mengguris hati perasaan.


Bersama dengan SAF Sarawak, PERKEPIS, SISMA dan individu-individu prihatin dalam satu jawatankuasa benar-benar menyentuh perasaan saya. Demi mencapai matlamat yang sama untuk melaksanakan Malam Transformasi Belia Islam 2012 dengan lancar dan jaya, kita ketepikan segala macam perbezaan. Diikat dengan ukhuwwah fillah yang kita tautkan untuk kesatuan dan perpaduan demi Allah dan Rasul-Nya SAW. 

Mata dan telinga saya jadi terang apabila menyaksikan jawatankuasa dapat saling menghormati. Akal dan hati saya jadi lapang apabila jawatankuasa dapat saling mengasihi. Bukankah elok sekiranya ini terus menjadi amalan dalam kita berhubungan antara satu sama lain. Rugi amatlah buat mereka yang tidak mengambil kesempatan yang ada untuk menjernihkan segala macam kekeruhan. Celaka besarlah pula buat mereka yang menyebarkan perpecahan dan kebencian. Saya dambakan ukhuwwah fillah abadan abada demi Allah dan Rasul-Nya.
"Dan siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengeratkan kekeluargaan (silaturrahim).” (H.R. Bukhori)
Indahnya ukhuwwah fillah abadan abada demi Allah dan Rasul-Nya SAW. Kita boleh senyum dan tertawa tanda senang dan suka. Kita boleh bersalaman tanda terima kasih dan penghargaan. Kita boleh berpelukan tanda kasih dan hormat. Semuanya itu masih mampu kita lakukan walaupun terbit juga di hati rasa beza yang menjurangkan demi ukhuwwah fillah yang kita jaga dengan taqwa. Untuk sama-sama akhirnya kembali ke matlamat redha Allah dan syafaat baginda Rasul SAW.

Saat kita berbeza, maka hargailah makna ukhuwwah fillah yang kita tautkan supaya segala tutur laku kita dalam perbezaan itu dipagari adab Islami. Bukan murah harga ukhuwwah fillah yang kita tautkan kerana itu harbi sanggup membayar dengan darah mereka untuk memastikan perpecahan kita.

Tiada Ketaatan Dalam Kemaksiatan
Tidak wujud ketaatan dalam kemaksiatan. Kerana keduanya itu berbeza dan saling bertentangan. Maka dengan ketaatan maka kemaksiatan itu tiada dan sebaliknya dengan kemaksiatan maka ketaatan itu tiada. Oleh itu, segala macam yang kita bicara dan kerjakan sehari-harian harus dijamin sebagai ketaatan kita kepada Allah SWT. Daripada Sayyidina Ali Bin Abi Talib kwj. bahawa baginda Rasul SAW bersabda;
"Tidak ada ketaatan dalam perbuatan maksiat terhadap Allah. Sesungguhnya hanya sahaja taat adalah dalam kebaikan". (H.R. Bukhori dan Muslim)
Maka itu, saya doakan Malam Transformasi Belia Islam 2012 sebagai manifestasi ketaatan saya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Adapun sebarang tutur dan laku saya yang menyimpang daripada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, mohon dinasihat dan diperbetulkan. Semoga tidak lahir daripada program tersebut maksiat perpecahan dan kebencian melainkan hanya hormat dan kasih sayang demi kesatuan dan perpaduan sesama kita.
"Ya Allah, pindahkanlah diriku daripada kehinaan maksiat kepada kemuliaan ketaatan. Cukupkan diriku dengan perkara halal dari-Mu dan tidak memerlkan perkara haram. Sibukkan diriku dengan ketaatan kepada-Mu dan tidak sempat melakukan kemaksiatan kepada-Mu. Cukupkan diriku dengan anugerah-Mu sehingga aku tidak memerlukan selain diri-Mu. Ya Allah, terangilah hati dan kuburku. Aku berlindung kepada-Mua daripada segala keburukan dan aku memohon kepada-Mu untuk menyatukan segala kebaikan kepada diriku".(Imam an-Nawawi, Kitab Al-Azkar)

Comments