Bolehkah Aku Pinjam?
Aku renung Sungai Gombak yang mengalir lembut,
Menerusi selok dan celah batu-batu keras berlumut,
Keruh membawa sisa alam yang hampa,
Mengalir menuju muara yang jauh dari mata,
Dan aku ditebingnya mengira,
Bolehkah aku pinjam ketenangan yang mengalir bersamanya.
Aku dongak langit yang cerah membiru,
Mataku mengejar pipit dan kupu-kupu,
Terbang dan hinggap dan terbang lagi,
Dari bunga mekar ke kubah masjid lalu ke langit tinggi,
Dan aku di bawahnya mengira,
Bolehkah aku pinjam kebebasan yang terbang bersama mereka.
Aku tenung anak-anak kecil yang leka bermain,
Suka dan ceria bersama rakan lain,
Melakar senyum di bibir kering,
Dipanggil sang bapa kerana azan si muazzin,
Dan aku di sebelahnya mengira,
Bolehkah aku pinjam kegembiraan yang menghilang duka.
Aku dengar dan fahami setiap kalimat khutbah,
Si khatib memberi ingat dan mengangkat izzah,
Menyegarkan semangat umat yang kian lelah,
Dengan ilmu sebagai ubat untuk umat yang parah,
Dan aku makmumnya mengira,
Bolehkah aku pinjam ilmu dan semangat yang terbit darinya.
K. Anwar Shazali
20 Ogos 2013
Rumah Travers YADIM, KL.
Comments