Isu Syiah: Surat Terbuka Kepada Y.B. Datuk Ir. Hj. Daud Abdul Rahman
Y.B. Datuk,
Assalamu'alaikum w.b.t.
Saya doakan agar Y.B. Datuk terus dilimpahi taufiq dan hidayah untuk memimpin rakyat dengan kebenaran dan keadilan serta beroleh kebaikan di dunia dan akhirat.
Saya merujuk kepada kenyataan Y.B. Datuk seperti yang disiarkan oleh akhbar The Borneo Post pada 12 Ogos 2013 dengan tajuk "No need to ban Shia teachings in State". Saya mohon izin untuk membuat kenyataan secara terbuka di dalam surat ini sebagai maklumbalas terhadap kenyataan Y.B. Datuk yang telah disiarkan secara terbuka. Mudahan dapat dijadikan sebagai pertimbangan pihak pembaca untuk menilai dengan benar dan adil.
Sudah dimaklumi bahawa ajaran Syiah daripada mana-mana golongan sekalipun termasuklah golongan al-Zaidiyah dan Jaafariah adalah terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama'ah dan justeru sekaligus bercanggahan dengan undang-undang Islam (Syiah Di Malaysia). Berdasarkan kenyataan Y.B. Datuk yang disiarkan, saya yakin dan percaya Y.B. Datuk juga turut maklum akan fakta ini. Oleh itu, saya tidak bercadang untuk mengulas panjang status ajaran Syiah di sisi Islam.
Namun, apabila Y.B. Datuk menyatakan bahawa ;
"There are no issues with Shia in the state. In fact most Muslims here do not know what Shia is all about. Furthermore, the people here are living in harmony and Muslims are very contented. There is no necessity for the state to gazette a fatwa that bans the teaching of Shia,”
Persoalan yang timbul ialah, sekiranya maklum akan status ajaran Syiah, kenapa Y.B. Datuk seolah-olah tidak menyokong penggazetan fatwa oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk menghalang ajaran Syiah daripada berkembang di Sarawak? Tambah memeningkan ialah, kenyataan di atas berbeza pula dengan kenyataan oleh Y.B. Datuk terdahulu yang disiarkan oleh akhbar The Borneo Post bertarikh 27 Julai 2013 dengan tajuk "Tiada Halangan Warta Fatwa Fahaman Anti-Syiah" di mana Y.B. Datuk menyatakan bahawa;
“Tiada halangan untuk kita mewartakan fatwa fahaman anti-Syiah bagi membanteras penularan fahaman ini (Syiah).
“Mewartakan perkara ini akan mengikut proses biasa kerana ia bukan isu besar di Sarawak,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ancaman penyebaran ajaran Syiah bukanlah isu kecil kerana ia merupakan ancaman terhadap akidah yang merupakan perkara pokok dalam Islam. Malah pemeliharaan akidah Islam iaitu hifzuddin adalah keutamaan yang pertama di dalam maqasid syariah. Apabila ancaman terhadap akidah Islam muncul tanpa mengira samada ia kecil atau besar, ancaman tersebut wajib diamankan di mana-mana pun ia timbul.
Keharmonian masyarakat bukanlah satu alasan yang sah untuk menyokong kenyataan Y.B. Datuk. Kerana dengan penggazetan fatwa menghalang ajaran Syiah daripada berkembang di Sarawak merupakan usaha yang penting untuk mengekalkan keharmonian masyarakat khususnya untuk umat Islam di Sarawak. Sebagaimana ketegasan terhadap ajaran-ajaran sesat yang lain kerana penyimpangan daripada Ahulus Sunnah wal Jama'ah, maka sebegitu jugalah ketegasan yang harus ditunjukkan terhadap ajaran Syiah. Demi untuk memelihara aqidah umat Islam.
Keharmonian masyarakat khsusnya umat Islam hanya akan dapat dipelihara apabila sebarang ancaman-ancaman terhadap keharmonian tersebut berjaya dibendung. Dan pastinya, sikap berdiam diri terhadap ancaman-ancaman tersebut tidak akan dapat mengekalkan keharmonian yang kita hargai.
Saya mohon untuk memperbetulkan tanggapan Y.B. Datuk bahawa umat Islam di Sarawak tidak tahu menahu tentang Syiah. Y.B. Datuk perlu menerima fakta bahawa sebahagian besar masyarakat di Sarawak termasuklah umat Islam mempunyai kadar kecelikan yang semakin tinggi daripada semasa ke semasa. Akses terhadap media samada arus perdana mahupun alternatif melalui pelbagai saluran semakin meluas.
Sekalipun memang ada kemungkinan umat Islam khususnya di kawasan-kawasan yang terpecil masih belum maklum tentang ajaran Syiah, tetapi adalah lebih baik untuk kita mengambil sikap berhati-hati untuk menganggap bahawa ajaran Syiah boleh diakses oleh umat Islam di kawasan terpencil maka apatah lagi umat Islam di kawasan utama. Dengan sikap tersebut, pastinya sebarang ajaran yang menyimpang daripada Ahlus Sunnah wal Jama'ah dapat dibendung dengan lebih awal.
Kita boleh memilih samada untuk menjelaskan kepada umat Islam atau mengekalkan kejahilan umat Islam tentang penyimpangan ajaran Syiah daripada Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Dengan penjelasan yang sewajarnya tambahan pula dengan penggazetan fatwa yang sebenarnya sudah pun dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Sarawak (Syiah: Keputusan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak), saya yakin dan percaya ancaman penyebaran ajaran syiah mampu dibendung. Pilihan ini adalah lebih baik daripada membiarkan umat Islam dalam kejahilan dan kemudiannya mengetahui ajaran Syiah dengan kefahaman yang salah.
Y.B. Datuk,
Suka untuk saya petik ulasan akhbar yang mewawancara Y.B. Datuk, di dalam akhbar The Borneo Post bertarikh 28 Julai 2013 di dalam tajuk "Usah Terpengaruh Fahaman Syiah". Di mana Y.B. Datuk menyatakan bahawa;
"Mengulas mengenai perkara sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman pada majlis berasingan berkata, Sarawak adalah bebas daripada anasir serta penyebaran ajaran Syiah kerana perpaduan masyarakat Islam di sini adalah amat baik.
Beliau berkata, pihaknya yakin Sarawak langsung tidak mempunyai penganut ajaran Syiah dan negeri ini adalah 100 peratus bebas daripada penyebaran ajaran tersebut."
Saya mohon untuk memperbetulkan tanggapan Y.B. Datuk bahawa Sarawak adalah 100% bebas daripada penyebaran ajaran Syiah. Sekiranya Y.B. Datuk belum dimaklumkan, saya mohon untuk memaklumkan bahawa sudah terdapat gerakan penyebaran ajaran Syiah di Sarawak yang berpusat di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta oleh para pelajar luar negara yang menyambung pengajian di institusi tersebut. Gerakan ini sudah mendapat tempat dan malah telah menarik keahlian daripada masyarakat setempat memandangkan ia sudah bertapak selama beberapa tahun secara senyap-senyap.
Maka, adalah tidak mustahil sekiranya ajaran Syiah sudah wujud dan disebarkan pula di tempat-tempat yang lain. Agen-agen penyebaran ajaran Syiah berselindung di sebalik pemakaian prinsip taqiyah yang dibenarkan oleh ajaran Syiah. Kerana itu, adalah sukar untuk mengenalpasti agen-agen ajaran Syiah dan masyarakat yang tidak diberikan penjelasan baiknya dikhuatiri terjebak ke dalam ajaran Syiah.
Maka, adalah tidak mustahil sekiranya ajaran Syiah sudah wujud dan disebarkan pula di tempat-tempat yang lain. Agen-agen penyebaran ajaran Syiah berselindung di sebalik pemakaian prinsip taqiyah yang dibenarkan oleh ajaran Syiah. Kerana itu, adalah sukar untuk mengenalpasti agen-agen ajaran Syiah dan masyarakat yang tidak diberikan penjelasan baiknya dikhuatiri terjebak ke dalam ajaran Syiah.
Y.B. Datuk juga turut menyatakan bahawa;
“Perpaduan masyarakat Islam di Sarawak adalah begitu baik sekali dan langsung tiada laporan mengenai anasir dari luar yang cuba atau sedang menyebarkan ajaran Syiah di sini.
Kenyataan Y.B. Datuk ini juga perlukan pembetulan. Kerana sudah beberapa aduan tentang gerakan penyebaran ajaran Syiah ini dibuat kepada pihak jabatan yang bertanggungjawab dan umat Islam masih dan sedang menunggu tindakan selanjutnya daripada jabatan tersebut. Maka adalah tidak betul untuk Y.B. Datuk untuk menyatakan bahawa Sarawak tidak berdepan dengan ancaman ajaran Syiah terhadap akidah umat Islam di Sarawak. Faktanya, Sarawak tidak bebas daripada ajaran Syiah seperti tanggapan yang Y.B. Datuk nyatakan.
Justeru, saya memohon kepada Y.B. Datuk untuk menilai semula kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan dan disiarkan secara terbuka oleh media. Sekiranya sukar untuk Y.B. Datuk membuat kenyataan baharu memperbetulkan kenyataan-kenyataan Y.B. Datuk terdahulu, adalah lebih utama untuk Y.B. Datuk menzahirkan pembetulan tentang isu ini melalui tindakan-tindakan yang konkrit untuk membendung penyebaran ajaran Syiah di Sarawak.
Y.B. Datuk dan para pemimpin Islam khususnya di Sarawak dipohon untuk berfungsi dan berperanan dengan lebih pro aktif untuk membela Islam. Saya yakin dan percaya, model yang ditunjukkan oleh Y.B. Datuk dan para pemimpin Islam yang lain untuk komited terhadap Islam akan dicontohi dan pastinya akan mampu untuk membangun bi'ah Islamiah yang lebih baik untuk semua.
Saya mohon maaf sekiranya bahasa penulisan yang saya gunakan menyinggung Y.B. Datuk. Namun, saya mohon untuk Y.B. Datuk meyakini bahawa niat saya adalah semata-mata untuk kebaikan Islam dan umatnya di Sarawak. Saya yakin dan percaya Islam pasti sahaja akan dipelihara oleh Allah SWT namun tidak pula menjadi kesalahan malah menjadi tuntutan untuk kita umat Islam khususnya para pemimpin Islam seumpama Y.B Datuk untuk memelihara ad-din yang kita cintai.
Semoga Allah SWT melimpahkan taufiq dan hidayahnya kepada saya dan kepada Y.B. Datuk dan para pemimpin Islam yang lain serta seluruh umat Islam khususnya di Sarawak dan semoga kita seluruhnya berada di dalam perhatian dan diakui sebagai umat oleh baginda Sayyidina Muhammad SAW. Ameen Allahumma ameen. Wallahu'alam.
Wassalamu'alaikum w.b.t.
Wassalamu'alaikum w.b.t.
Comments