SELAMAT HARI MALAYSIA KE-52
Bismillahirrahmanirrahim
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan
sempena ulangtahun penubuhan Malaysia yang ke-52. Sarawak dalam Malaysia telah menikmati
kemerdekaan lebih daripada separuh abad. Hari Malaysia di samping Hari
Kemerdekaan, telah memberikan kesan yang amat signifikan di dalam lipatan sejarah
Malaysia khususnya buat rakyat Sarawak.
Sepanjang tempoh itu kita menyaksikan
kemajuan pembangunan infrastruktur di Sarawak. Namun, pembangunan sumber insan juga
perlu dimajukan selari dengannya. Hak dan tanggungjawab rakyat Sarawak perlu
diiktiraf selayaknya sebagai warganegara Malaysia. Kita percaya, banyak lagi
penambah-baikan yang boleh dilaksanakan demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat
Sarawak.
Tuntutan autonomi untuk negeri ini oleh
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem wajar
disambut baik. Namun ia memerlukan perincian yang selanjutnya. Maklumbalas
positif kerajaan persekutuan perlu diterjemahkan kepada perlaksanaan tindakan
demi menghormati Perjanjian Malaysia 1963. Merujuk kepada perjanjian
tersebut, seorang tokoh Iban, Tun Jugah Anak Barieng telah memperingatkan,
“Anang baka tebu, manis aba pun, tabar aba ujong” yang lebih kurang
bermaksud “jangan jadi macam tebu, manis di awal tapi tiada rasa di hujungnya”.
Sejarah penubuhan Malaysia harus
dihayati dengan tulus agar kita menghargai perjuangan untuk merealisasikannya. Dengan
penghayatan itulah kita menggarap impian penubuhan Malaysia. Generasi muda
khususnya perlu cakna dengan fakta sebenar peristiwa-peristiwa penting penubuhan
Malaysia. Ini penting agar kita tidak tertipu oleh manipulasi sejarah oleh
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kedudukan strategik Sarawak dalam Malaysia
juga perlu dihargai demi masa depan anak-anak Bumi Kenyalang. Dalam dunia pasca
moden hari ini, perpecahan hanya akan mengorbankan kekuatan sedia ada dan melemaskan
kita dalam konflik yang membantutkan kemajuan. Kita pastinya tidak mahu perkara
itu berlaku demi memelihara keamanan dan kemakmuran rakyat negeri ini.
Pengisytiharan Kuching sebagai
Bandaraya Perpaduan adalah bukti kesatuan dan perpaduan rakyat yang berbilang
bangsa dan suku kaum. Kejayaan integrasi ini adalah hasil toleransi dan keteguhan
pegangan terhadap nilai-nilai mulia. Kerajaan perlu menunjukkan penghargaan sewajarnya
di atas komitmen mereka menjadi contoh teladan Bangsa Malaysia.
Justeru bersempena Hari Malaysia
ini, saya mewakili Pertubuhan Halaqah Kemajuan Muslim Sarawak (HIKAM)
merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Sarawak dan mengucapkan Selamat Hari
Malaysia ke-52 buat seluruh rakyat Malaysia. Semoga Sarawak terus aman dan
makmur dalam Malaysia.
KHAIRUL ANWAR BIN SHAZALI
Presiden,
Pertubuhan Halaqah Kemajuan Muslim
Sarawak (HIKAM).
Comments