Rabu, Ogos 31, 2016

RAIKAN 31 OGOS SEHATI SEJIWA


Sebagaimana anak-anak jati negeri lain dalam Malaysia, saya juga amat berbangga selaku anak jati Sarawak. Saya tidak minta dilahirkan di Sarawak tetapi sudah taqdirnya begitu dan saya amat bersyukur. Walaupun hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, pastinya lebih baik di negeri sendiri.

Namun adalah suatu yang menyedihkan apabila semangat kebanggaan anak Sarawak disalah guna oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka memanipulasi semangat ini melalui tafsiran songsang terhadap fakta yang dicipta dengan kesimpulan sendiri daripada bukti-bukti sejarah. Hasilnya, ia mula menjadikan sebahagian kita bersikap “holier than thou”.

Kita menjadi amat sensitif terhadap setiap sesuatu yang berkaitan hak negeri kita sebagai rakan dalam persekutuan Malaysia. Namun kita menjadi amat tidak sensitif terhadap setiap sesuatu yang berkaitan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

Seruan-seruan seumpama menghapuskan Hari Kebangsaan yang diraikan pada tarikh 31 Ogos saban tahun adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab. Sarawak sebagaimana Persekutuan Tanah Melayu dan Sabah adalah rakan penting dalam persekutuan Malaysia. Sekalipun sejarah menyaksikan Sarawak merdeka melalui penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, adakah kita tidak sensitif terhadap sejarah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai rakan kita dalam persekutuan ini?

Dahulu kita tuntut agar tarikh 16 September diraikan selayaknya saban tahun di peringkat kebangsaan sebagai memperingati tarikh pemasyhuran kemerdekaan Sarawak dan Sabah dengan penubuhan Malaysia. Dan tuntutan kita itu sebagai rakan sebuah persekutuan didengar dan dilaksanakan sehingga ke hari ini. Namun, apabila 31 Ogos diraikan di peringkat kebangsaan sebagai memperingati tarikh perisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, kita pula menuntut agar sambutan tersebut dihapuskan. Selaku rakan sebuah persekutuan, moral apakah yang ingin kita tonjolkan dengan seruan ini?

Kita seharusnya melihat Sarawak dan Malaysia sebagai sebuah negara tanpa mengurangkan sedikit pun semangat kebanggaan selaku anak Sarawak. Bersikap patriotik terhadap Malaysia merangkumi rakan-rakan persekutuannya yang lain, tidak mengurangkan kebanggaan kita selaku anak Sarawak dan begitulah juga sebaliknya. Di samping anak Sarawak, bukankah kita juga turut berbangga apabila anak Pulau Pinang dan Terengganu merangkul pingat di Olimpik baru-baru ini?

Untuk anak Sarawak, meraikan 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan adalah suatu penzahiran patriotisme kita sebagai rakyat Malaysia. Begitulah juga negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu yang turut meraikan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun. Apabila Malaysia ditubuhkan, dua tarikh ini menjadi sejarah yang dikongsikan bersama. Patriotisme yang kita zahirkan pada tarikh-tarikh ini adalah suatu bentuk penghayatan sejarah yang telah menjadikan Sarawak dan Malaysia pada hari ini.

 Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jangan sampai kebanggaan kita selaku anak negeri masing-masing mengancam kewujudan persekutuan Malaysia. Sebagaimana kita menuntut agar Kerajaan Persekutuan menunaikan perjanjian Malaysia 1963 dan mempertahankan hak dan tanggungjawab dalam Perlembagaan Persekutuan, begitulah juga yang dikehendaki daripada kita sebagai warganegara. Kita raikan 31 Ogos sehati sejiwa sebagai rakyat Malaysia.

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...