Mat Sabu, Mat Indera & Gerakan Kiri Dalam Perjuangan Kemerdekaan

Mat Sabu

Ikhlas hati saya cakap, Mat Sabu bukan politikus yang saya kagumi di Malaysia. Apa sebab? Tak perlu cerita di sini. Lain hari kita sembang. Cuma, saya rasa tak berhak nak komen panjang lebar ucapan kontroversi Mat Sabu di Tasek Gelugor tempoh hari. Sebab saya tak jumpa ucapan versi penuh Mat Sabu melainkan sedutan yang menjadi kontroversi tentang Bukit Kepong, Polis British (berbangsa tempatan), Mat Indera dan Tok Janggut. Saya masih percaya bahawa maksud yang ingin disampaikan oleh seseorang penceramah tidak boleh hanya dilihat dari sedutan tetapi dilihat daripada keseluruhan ucapannya.

Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS memang dikenal sebagai pemidato yang melucukan. Tahan berucap berjam-jam lamanya. Saya pernah dengar salah satu ucapan Mat Sabu di Taman Melewar suatu ketika dahulu. Tak nafi, memang saya gelak sakan. Tapi, tetap Mat Sabu bukan politikus yang saya kagumi di Malaysia. Minta Maaf.


Apa pun versi sejarah yang dimomokkan oleh politikus dan akademia merangkap politikus jadian, rakyat pasti kebingungan apabila soal-soal akademik dibangkitkan di pentas umum. Kenapa bingung? Sebab rakyat kita bukan rakyat berbudaya ilmu. Asalkan keperluan cukup, hidup pasti terus.

Kita ini sudah jadi rakyat bermentaliti pengguna. Apa yang terhidang kita makan. Kalau tak ada hidangan, kita minta suap. Kalau tak dapat suapan, kita mengamuk. Kita nak reformasi, kita nak perubahan, kita nak itu kita nak ini dan segala macam. Bila kena suap sikit, kita mula senyap. Bila kena suap banyak, kita terus zip mulut. Tunggu masa bila hidangan tak ada lagi, baru mula mengamuk. Dan begitulah kitarannya.

Mat Indera
Saya buka sejarawan. Saya juga bukan akademia. Saya cuma individu yang mungkin juga mewakili sejumlah rakyat lain yang punya perhatian tinggi terhadap sejarah negara. Mat Indera dianggap sebagai pengganas kerana mengetuai serangan atas nama Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dan membunuh sejumlah Polis British dan ahli keluarga mereka (berbangsa tempatan) termasuklah Sarjan Jamil. 

Bagi saya, sebelum kemerdekaan, orang kita (berbangsa tempatan) yang bekerja di bawah perintah penjajah merupakan golongan yang tersepit. Mereka tersepit antara keperluan hidup dan perjuangan kemerdekaan. Mereka bekerja sebagai polis atau tentera penjajah. Ada di antara mereka yang sememangnya balaci dan pencacai penjajah (talam dua muka) namun saya percaya ramai di kalangan mereka tiada pilihan demi rezeki untuk menyara hidup keluarga. Tindakan Mat Indera menyerang mereka bukanlah satu pengkhianatan kepada mereka yang sebangsa tetapi merupakan penentangan terhadap penjajah. Sarjan Jamil dan polis di bawahnya adalah mangsa keadaan. Begitu jugalah perjuangan Tok Janggut dan Syarif Masahor.

Kalau Alumni Polis terasa hati kerana Mat Indera bertindak menyerang bangsa sendiri yang bertugas sebagai Polis British, maka kenapa penentangan Tok Janggut terhadap British sehingga memaksa beliau menikam Sarjan Che Wan (Polis British berbangsa Melayu) itu tidak dianggap serupa? Kalau nak ikutkan sepatutnya Alumni Tentera Gurkha pun seharusnya terasa kerana Syarif Masahor dianggap tokoh kemerdekaan kerena beliau telah membunuh ramai tentera Brooke (berbangsa Gurkha) semasa menyerang kubu Brooke di Kanowit.

Mayat Tok Janggut digantung di hadapan Istana selepas terbunuh dalam pertempuran menentang British

Rosli Dhoby ditangkap selepas menikam Sir Duncan George Stewart

Syarif Masahor

Adakah Tok Janggut yang menentang British dengan kekerasan dan diisytihar penderhaka oleh Sultan Kelantan (atas nasihat Residen Brisith) juga harus kita gelar sebagai pengganas? Adakah Rosli Dhoby yang menikam mati Sir Duncan George Stewart, Gabenor ke-2 Sarawak juga harus kita gelar sebagai pengganas? 

Apa beza mereka ini berbanding Mat Indera? Saya dapati satu perbezaan yang menjadikan Alumni Polis cukup sensitif iaitu Mat Indera melibatkan diri dalam PKM dan Tok Janggut, Rosli Dhoby tidak. Kerana itu perjuangan Mat Indera dikatakan keganasan dan perjuangan Tok Janggut dan Rosli Dhoby adalah untuk kemerdekaan. Sekalipun terdapat perbahasan akademik samada Mat Indera benar-benar mendukung ideologi komunisme atau tidak, tetapi bagi saya penglibatan beliau dalam PKM sudah membawa indikator yang cukup signifikan.

Lihat saja nasib yang diterima oleh Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh. Kesemua mereka telah diasosiasikan dengan ideologi komunisme kerana penglibatan mereka dalam gerakan kiri yang terlibat langsung atau bekerjasama dengan PKM. Maka kita lihat, apakah mereka diingati sebagai pejuang kemerdekaan oleh kita hari ini? Tidak!

Berbeza dengan Tok Janggut (Kelantan), Rosli Dhoby (Sarawak), Syarif Masahor (Sarawak), Mat Salleh (Sabah), Mat Kilau (Pahang) Dato Maharajalela (Perak) dan ramai lagi. Mereka berjuang untuk kemerdekaan namun bukan atas nama yang boleh diasosiasikan dengan ideologi komunisme sekalipun perjuangan mereka radikal berbanding tokoh-tokoh kemerdekaan dalam UMNO yang mesra British melalui perjuangan di meja rundingan.

Gerakan Kiri & Kemerdekaan

Saya bukan komunis dan bukan juga penyokong komunis. Saya tentang Chin Peng dan ideologi komunisme nya. Tapi saya berbeza pandangan dengan keputusan Majlis Profesor. Ya, PKM adalah gerakan kiri namun gerakan kiri bukan PKM sahaja. Itu yang saya percaya. Kalau kita nak himpun semua gerakan kiri dalam PKM, seumpama macam kita nak kata Tok Janggut, Rosli Dhoby, Syarif Masahor, Mat Salleh, Mat Kilau, Dato Maharajalela dan ramai lagi pejuang kemerdekaan radikal sebagai PKM juga.


Saya juga rasa tidak adil hanya tokoh-tokoh gerakan kanan sahaja yang diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. Tokoh-tokoh gerakan kiri juga seharusnya diberi tempat yang selayaknya. Matlamat perjuangan adalah sama untuk memederkakan tanah air. Cuma yang berbeza adalah matlamat. Jika Tok Janggut, Rosli Dhoby, Syarif Masahor, Mat Salleh, Mat Kilau dan Dato Maharajalela daripada gerakan kiri boleh diangkat menjadi tokoh kemederkaan, kenapa tidak tokoh gerakan kiri yang lain.

Ya, definasi gerakan kiri mungkin menakutkan kita. Dengan idea sekularis, komunis dan sosialis yang diasosiasikan padanya. Tetapi, saya kira yang menentukan itu adalah kita semua. Ia adalah suatu perkara yang relatif. Seperti mana wujudnya terma demokrasi, kemudian berkembang dengan wujudnya demokrasi berpelembagaan (Malaysia), demokrasi sekular (Perancis), demokrasi terpimpin (Indonesia) yang mana itu semua untuk memenuhi perkembangan lokaliti sehingga melahirkan terma-terma baru seperti itu.

Tok Janggut dan Mat Kilau turut dikenali sebagai tokoh agama daripada keluarga yang punya latar belakang agama yang cukup kuat. Malah Syarif Masahor adalah daripada keturunan baginda Rasulullah s.a.w. Maka saya kira, perjuangan gerakan kiri mereka boleh sahaja dibawa hala menuju kepada Islami. Dr Burhanuddin Helmi pun kemudiannya menerajui PAS yang kita sedia maklum matlamat perjuangan mereka sekalipun kini beberapa strategi politiknya kabur dan merunsingkan.

Semua pihak yang menyumbang sekalipun sedikit ke arah mencapai kemerdekaan seharusnya diiktiraf jasa dan pengorbanan mereka. Gerakan kanan mahupun kiri. Sejarah yang kita ajar pada anak-anak harus jujur sekalipun pahit untuk ditelan. Penipuan sejarah hanya akan membawa bencana kepada patriotisme anak-anak kita kelak. Jangan jadi macam ungkapan Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS;

"Menang tulis sejarah, kalah buat puisi"
-Dato Tuan Ibrahim Tuan Man kata-

Apatah lagi sejarah kemerdekaan. Jangan nanti, anak-anak kita jadi bingung dengan sejarah kemerdekaan lalu buat tak tahu dengan pengorbanan generasi terawal. Politikus & akademia merangkap politikus jadian bukan golongan terbaik untuk menulis sejarah. Biarkanlah golongan akademia tulen rentas bidang diamanahkan untuk menulis kembali sejarah Malaysia. Biar jelas dan bermakna.

"Fakta sejarah harus diteliti menyeluruh dengan mengambil kira nilai dan saling kaitan antara hingga membentuk rangkaian kesimpulan yang bermakna"
-Tan Sri  Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas kata-
2 comments