Adab Pijak dan Bakar Bendera

Jumaat lepas, saya dihubungi oleh rakan seusrah semasa kami masih sama-sama dalam pengajian di universiti. Kami hadir dengan konsisten usrah PERKEPISma yang dianjurkan secara rutin dua minggu sekali di Masjid as-Syakirin, KLCC bersama anak-anak Sarawak yang menyambung pengajian di IPTA/S di Semenanjung Malaysia. Sekarang, sekalipun usia dia lebih muda, kami sudah sama-sama berada dalam alam pekerjaan dan berkeluarga cumanya saya sudah punya anak dan dia belum.


Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah s.w.t. masih memilih kami untuk kekal berada dalam jalan dakwah. Walaupun sekarang kami bergerak dengan wadah dan pendekatan yang berbeza, namun saya yakin kami berkongsi misi dan visi dakwah yang sama. Dia menjemput saya untuk berucap dalam sebuah rapat umum sebagai reaksi protes terhadap filem Innocence of Muslims selepas Solat Jumaat di sebuah masjid di Kuching bagi mewakili sebuah NGO yang saya bukan lagi pimpinannya. Maka saya tolak jemputannya dengan elok.

Sebenarnya ada dua asas penting kenapa saya menolak jemputannya. PERTAMA, seperti yang saya sebut bahawa jemputan ditujukan kepada saya atas sangkaan saya masih merupakan pimpinan kepada NGO yang dikenalinya. Oleh kerana saya bukan pimpinan NGO tersebut maka saya tidak punya autoriti untuk berucap mewakilinya yang pastinya mempunyai fikrah, uslub dan tanzim tersendiri. Kerana itu saya tolak jemputannya sebagai menghormati NGO tersebut dan mengiktiraf serta menghormati perbezaan antara saya dan NGO tersebut dalam perkara-perkara cabang.


KEDUA, saya tolak jemputan tersebut kerana di dalam aturcara rapat umum tersebut, terdapat beberapa gimik rapat umum yang tidak saya senangi sekalipun pernah saya sendiri lakukan. Di antaranya ialah, gimik pemijakan dan pembakaran bendera Amerika Syarikat. Kerana itu saya tolak jemputannya kerana membenci gimik-gimik tersebut dan tidak mahu termasuk dalam golongan yang bersubahat dalam perkara-perkara yang sekalipun tidak haram (khilaf di kalangan para ulama') maka ia adalah shubhah.

Gimik pembakaran bendera Amerika Syarikat dan Israel selepas setiap wakil NGO (termasuk saya-berbaju melayu hitam) berucap di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 2009.
PREMIS SATU, bahawa saya meyakini setiap Muslim wajar bereaksi terhadap penerbitan filem tersebut untuk menunjukkan kecintaan kita kepada baginda Rasulullah s.a.w. dan mempertahankan kemuliaan baginda. Kerana cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. adalah penyempurnaan kepada iman kita. Dan penyaksian baginda sebagai Rasulullah adalah pra-syarat Islam kita. Maka, sesiapa Muslim yang tidak merasa terpukul apabila baginda Rasulullah s.a.w. dihina perlu bertaubat dan berazam untuk memperbetulkan status Islam dan meningkatkan keimanannya.


PREMIS DUA, bahawa saya tidak menentang hak kebebasan untuk berhimpun dan bersuara seperti yang terkandung dalam perlembagaan persekutuan. Malah turut terkandung dalam Universal Islamic Declaration of Human Rights. Asal sahaja hak tersebut dilaksanakan menuruti adab dan syariat. Cuma seperti dalam penulisan saya sebelum ini saya nyatakan bahawa protes semacam itu tidak boleh berhenti setakat itu sahaja. Kita tidak boleh hanya lemas dan syok sendiri dengan reaksi spontan yang sama. Dunia Islam perlu keluar daripada jangkaan masyarakat dunia dengan reaksi yang memberikan impak positif dan strategik untuk menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik untuk semua orang khususnya Islam. Rujuk: Innocence of Muslims Bukan Suatu Yang Baru.


APA PENTINGNYA BENDERA? Bendera adalah syiar dan maruah sebagai perlambangan sesebuah institusi yang diwakilinya. Samada sebuah persatuan, bangsa, atau negara. Apatah lagi jika ia mewakili agama. Dalam perang, bendera menjadi rebutan di antara pihak-pihak yang terlibat. Pihak yang berjaya merebut dan menjatuhkan bendera pihak lawan akan beroleh kemenangan moral di dalam perang tersebut. Bendera sesebuah pihak sekiranya berjaya didirikan dalam kawasan musuh akan menjatuhkan moral musuh mereka. Kerana itu, pemegang bendera bukanlah satu taklifan yang diberikan semberono.

Rasulullah s.a.w. dalam mentaklifkan seseorang pemegang bendera akan memilih yang paling faqih dalam kalangan tentera Muslim. Di dalam perang Tabuk, Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan bendera Bani Malik yang sedang dipegang oleh Saidina Amarah diserahkan untuk dipegang oleh Saidina Zaid Bin Tsabit. Amarah yang kehairanan kerana khuatir ada berbuat atau berucap yang menyinggung Rasulullah s.a.w. bertanyakan kepada baginda akan arahan tersebut. Maka Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa bendera itu diserahkan kepada Zaid Bin Tsabit untuk dipegang kerana beliau lebih faqih dalam al-Quran berbanding Amarah.

Kisah masyhur Saidina Mus'ab Bin Umayr yang syahid dalam perang Uhud dalam usahanya untuk mempertahankan bendera Islam. Tatkala tangan kananya yang memegang kemas bendera Islam putus ditetak musuh, tangan kirinya lantas menyambut tugas tersebut. Apabila tangan kirinya pula putus ditetak musuh, beliau memeluk bendera Islam dengan tubuh dan saki baki tangan yang masih tinggal sehinggalah beliau syahid ditikam pedang musuh. Tidak pula jatuh bendera Islam pada ketika itu kerana disambut pula oleh sahabi yang lain.

Kisah pentaklifan memegang bendera Islam sekaligus sebagai komander angkatan tentera Muslimin oleh Rasulullah s.a.w. kepada Saidina Zaid Bin Harithah (pemegang bendera pertama), Saidina Ja'far Bin Abu Talib (pemegang bendera kedua) dan Saidina Abdullah Bin Rawahah (pemegang bendera ketiga) dalam Perang Mu'tah yang akhirnya menyaksikan syahidnya ketiga-tiga sahabi dalam melaksanakan taklifan mereka dan tidak pula bendera Islam gugur melainkan disambut oleh Saidina Thabit bin al-Arqam.


ADAB PIJAK DAN BAKAR BENDERA? soalannya sekarang, beradabkah kita dengan memijak dan membakar syiar dan maruah sesebuah negara? Lebih-lebih lagi di dalamnya terdapat warganegara Muslim dan bukan Muslim yang hidup bersama. Maka saya berfikir, kalaulah saya seorang Muslim warganegara Amerika Syarikat, apakah perasaan saya apabila bendera negara saya dibakar? Dan apakah perasaan saya apabila bendera negara saya dibakar oleh orang-orang yang diistilah sebagai "saudara seIslam" saya daripada negara lain? 


Adakah wajar, disebabkan oleh seorang rakan sewarganegara (Amerika Syarikat) Nakoula Basseley Nakoula yang mengarah dan menerbitkan filem tersebut, maka saya perlu memohon untuk menukar kewarganegaraan saya? Adakah wajar, disebabkan kejahilan dan kesalahannya, maka negara yang dikongsinya bersama saya perlu dimaki hina? Adakah wajar, disebabkan filem tersebut, maka bendera negara saya perlu dipijak-pijak dan dibakar?

Betulkah reaksi kita membalas keburukan yang manusia lakukan kepada kita dengan keburukan yang sama atau lebih teruk? Saya tidak fikir Islam mengajar penganutnya melalui percontohan daripada baginda Rasulullah s.a.w. untuk bersifat dan bersikap begitu. Pijak dan bakar bendera dengan niat untuk menghina siapa-siapa pun adalah tindakan yang terkeluar daripada adab Islam yang diajarkan kepada saya. Islam adalah addin haq dan sempurna mengajarkan insan beradab dengan sesiapa sekalipun kepada musuh.


PESAN GURU saya yang dikasihi Ustaz Wan Izzudin Wan Kamaluddin al-Aidrus dalam membicarakan tentang reaksi umat Islam terhadap filem Innocence of Muslims. Yang salah sebenarnya dalam isu ini adalah umat Islam sendiri kerana gagal menyebarkan keutamaan dan kemuliaan baginda Rasulullah s.a.w. untuk difahami dan dihayati oleh masyarakat dunia. 

Benarlah daripada mafhum hadith bahawa di akhir zaman, umat Islam seumpama buih di lautan, amat banyak tetapi pecah apabila terhempas di pantai. Umat Islam bukan sedikit jumlahnya, tetapi tidak pula mendatangkan sebarang manfaat daripada tutur kata dan tindak tanduk nya kepada dunia.

Disampaikan oleh beliau daripada Syaikh Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafiz, Mudir Darul Mustofa bahawa nafsu tidak dilawan dengan nafsu. Nafsu itu dilawan dengan adab. Maka pasti nafsu itu akan kalah tersungkur di kaki adab.


SOALAN PENTING; Dengan memijak dan membakar bendera sesiapa pun yang menghina Rasulullah s.a.w., adakah ia akan menghentikan penghinaan terhadap baginda Rasulullah s.a.w.? atau semakin bertambah...

Dengan memijak dan membakar bendera sesiapa pun yang menghina Rasulullah s.a.w., adakah ia akan menambahkan rasa hormat manusia khususnya bukan Islam kepada baginda Rasulullah s.a.w.? atau semakin takut...

Dengan memijak dan membakar bendera sesiapa pun yang menghina Rasulullah s.a.w., adakah ia akan mendekatkan lagi manusia khususnya bukan Islam kepada baginda Rasulullah s.a.w.? atau semakin jauh...

Dengan memijak dan membakar bendera sesiapa pun yang menghina Rasulullah s.a.w., adakah ia meluaskan lagi dakwah kepada Islam? atau semakin sempit...

Dengan memijak dan membakar bendera sesiapa pun yang menghina Rasulullah s.a.w., yang puas sebenarnya siapa? NAFSU atau ADAB?

 wallahu'alam

Comments