Belia Menganggur Kerana Usia Persaraan Meningkat ?

Belanjawan Negara 2012 yang dibentang oleh DS Najib pada Jumaat lalu memang berbeza daripada yang sebelum-sebelum ini. Yang terbaik pernah dibentang dalam Parlimen. Semua ahli kerajaan memperakuinya. Malah, mantan-mantan Perdana Menteri yang masih hidup pun memperakuinya. Sebab ia adalah belanjawan daripada kerajaan. Daripada memberikan penghargaan, sebaliknya sempat pula DS Najib menyindir pembangkang dalam sibuk beliau membentangkan belanjawan negara.

Dan seperti yang kita sedia maklum dan sedia jangka. Tentu sahaja ada yang tidak kena dengan belanjawan bentangan kerajaan di mata ahli pembangkang. Tambah lagi, pembangkang pun sudah membentangkan terlebih awal Belanjawan Alternatif 2012. Mana mungkin pembangkang mahu memperakukan belanjawan daripada kerajaan sedang mereka sudah punya belanjawan sendiri. Tentu sahaja belanjawan daripada pembangkang lebih baik.

Begitulah sikap ahli-ahli politik kita di Malaysia. Tiada pernah berlapang dada antara satu sama lain. Partisan yang menebal di kalangan mereka menjadi barah yang sedang memecah-belahkan rakyat seluruhnya. Kerana terikut-ikut dengan sikap pertisan yang diteladani daripada para pemimpin mereka.



Saya bukan ahli untuk mengulas Belanjawan Negara 2012. Tapi sebagai salah seorang warganegara Malaysia, saya perlu ambil tahu. Bukan setakat menjadi warganegara yang sekadar angguk-angguk mahupun geleng-geleng. Yang hanya tahu memuji mahupun mengeji kerajaan dan pembangkang. Rupa-rupanya tin kosong.

Saya tidak hanya mahu menjadi warganegara yang taat membabi buta kepimpinan ahli politik baik di kalangan kerajaan dan pembangkang yang memimpin Malaysia. Saya ingin jadi warganegara yang terlibat sekali dalam memimpin negara sekalipun tanpa apa-apa gelar dan pangkat. Cukup sebagai rakyat dalam sebuah negara demokrasi.

Sebolehnya, saya mahu menuruti para pemimpin negara dengan sebaik-baik ketaatan sebagaimana saya mahu para pemimpin negara memimpin saya dan rakyat seluruhnya dengan sebaik-baik kepimpinan. Hormat saya kepada mereka sebagai pemimpin dan kasih mereka kepada saya sebagai rakyat.

Syukur bila dapat membaca analisis Belanjawan Negara 2012 yang sudah pun tersedia oleh para ahlinya yang saya kira duduk atas pagar. Bukan bersikap partisan seperti sesetengah kita. Sekurang-kurangnya, warganegara macam saya boleh memahami sebab dan kesan daripada Belanjawan Negara 2012 yang dibentangkan.

Baca:


Banyak-banyak perkara yang disentuh dalam Belanjawan Negara 2012, cuma satu perkara ini sahaja yang saya ingin saya ulas. Umur persaraan wajib perkhidmatan awam, daripada 55 tahun pada zaman dahulu kala naik jadi 56 tahun. Kemudian naik lagi jadi 58 tahun. Dan terkini naik jadi 60 tahun. Saya pernah ulas perkara ini sebelum-sebelum ini.

Baca:

Yang menjadi kegusaran utama saya sebelum ini ialah pengangguran dalam kalangan belia. Perkiraan mudahnya, semakin ramai kakitangan senior yang masih dalam perkhidmatan awam maka semakin sedikit kakitangan junior di dalamnya. Semakin banyak ruang perkhidmatan awam dijawat oleh kakitangan senior maka semakin kurang ruang untuk kakitangan junior.


Namun, saya ingat premis hujah saya itu perlukan penilaian semula. Begitupun, soal pengangguran belia masih menjadi perkara pokok dalam melihat sebab dan kesan kenaikan usia persaraan perkhidmatan awam.

Sempat saya menonton ulasan Tun Mahathir tentang perkara ini. Kenaikan usia persaraan perkhidmatan awam merupakan satu amalan di negara-negara maju apabila jangka hayat seseorang ketika lahir semakin meningkat. Di Malaysia, jangka hayat seseorang ketika lahir kini pada 71.7 tahun (lelaki) dan 76.7 tahun (perempuan).

Dan keputusan untuk melanjutkan usia persaraan perkhidmatan awam adalah betul apabila dinilai daripada beberapa aspek;
  1. Kos yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk bayaran pencen bulanan meningkat kerana  jangka hayat seseorang yang turut meningkat. Dalam kesibukan kita dengan masalah pengangguran belia, akan timbul masalah lambakan kakitangan awam pencen. Lambakan kakitangan awam pencen tanpa kerja namun dibayar pencennya oleh kerajaan bukanlah satu perkara yang menguntungkan.
  2. Perkhidmatan berkualiti oleh kakitangan awam senior. Daripada menjadikan mereka kakitangan awam pencen tanpa bekerja, lebih baik mengekalkan mereka dalam perkhidmatan dengan memanfaatkan pengalaman mereka untuk tadbir urus yang lebih baik dan meningkatkan prestasi dan produktiviti perkhidmatan awam.
  3. Peningkatan usia persaraan perkhidmatan awam tidak boleh dikatakan sebagai faktor punca pengangguran dalam kalangan belia. Kerana tiada kajian khusus yang membuktikan hipotesis ini. Yang jelas pernah dinyatakan dalam beberapa penulisan dan kajian sebelum ini, pengangguran belia berpunca daripada kualiti dan kapasiti belia sendiri (kualiti: sijil/keputusan akademik, kemahiran nilai tambah dll. - kapasiti: memilih pekerjaan, kurang info, tidak berani mencuba dll.) selain daripada faktor kegawatan ekonomi. Baca: Kurang Info Punca Belia Menganggur & Sikap Pilih Kerja Punca 400,000 Belia Menganggur
Malah, mungkin lebih banyak aspek lain yang perlu dinilai dalam menanggapi perkara ini. Saya tidak mahu menjadi kera sumbang yang hanya tahu meminta untuk keperluan diri sendiri tetapi lupa, rupanya lebih ramai yang lain punya keperluan yang mungkin lebih utama.

Namun, suka juga nyatakan beberapa persoalan lain supaya perkara ini dapat dinilai dengan adil dan saksama untuk kebaikan bersama;

 
  1. Saya ingat hujah pengangguran secara umum mungkin basi dalam berdepan dengan perkara ini. Namun, perlu dinyatakan dengan jelas tentang fakta statistik pengangguran dalam kalangan belia. Yang digusarkan sekarang adalah kesan peningkatan usia persaraan kakitangan senior terhadap kemasukan kakitangan junior dalam kalangan belia dalam perkhidmatan awam. Kerana bukan semua berminat untuk bekerja sendiri (keusahawanan dll.) atau di sektor swasta, malah mungkin majoriti belia lebih suka untuk bekerja dalam perkhidmatan awam. Kerana "kerja makan gaji" di sektor swasta pun belum tentu dapat menjadi alternatif yang baik kepada belia untuk mengelak pengangguran dengan ketidaktentuan ekonomi hari ini.
    Baca: Graduan Menganggur: Sampai Bila Harus Terbelenggu & Belia Masih Menganggur
  2. Sejauh manakah belia berani dan mampu untuk terlibat dalam bidang keusahawanan ataupun bidang-bidang lain untuk mengelak daripada terjebak dalam pengangguran. Tambah lagi dengan fakta baru bahawa 41 belia muflis setiap hari kerana kegagalan menguruskan kewangan. Sebagai contoh, insentif yang disediakan oleh kerajaan dalam Belanjawan Negara 2012 untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dilihat sebagai galakan kerajaan untuk belia mencebur diri dalam PKS daripada hanya menantikan pekerjaan dalam perkhidmatan awam.
  3. Pengangguran merupakan antara faktor yang dikenalpasti menyumbang kepada kebejatan sosial. Lebih-lebih lagi apabila yang terjebak dengan pengangguran adalah golongan belia. Melihat kepada Belanjawan Negara 2012, saya kira amat sedikit malah hampir tiada peruntukan yang dikhususkan untuk latihan dan pembangunan belia untuk berdepan dengan masalah kebejatan sosial belia. Maka dipersoalkan, dengan peningkatan pengangguran belia, apakah pelan lain yang disediakan untuk belia?
  4. Adakah peningkatan usia persaraan kakitangan awam satu-satunya penyelesaian kepada masalah lambakan kakitangan awam pencen yang tidak dimanfaatkan sebaiknya?
Saya akui, keputusan peningkatan usia persaraan dalam perkhidmatan awam ada juga kebaikannya berbanding keburukan yang sering saya nilaikan daripadanya. Namun, belia harus disediakan ruang dan peluang secukupnya dalam perkhidmatan awam. Kerana, lebih awal kakitangan junior dibawa masuk dalam perkhidmatan awam (dengan mengambil kira jumlah kelahiran yang semakin tinggi di Malaysia dan jumlah penduduk Malaysia yang sudah mencecah 28 juta), maka adalah lebih cepat mereka terdedah dengan pengalaman yang akan mendewasakan mereka untuk bekerja dengan kualiti tadbir urus yang cemerlang.

Kerajaan boleh memberi jaminan dan menyediakan pelan alternatif untuk belia bagi mereka menentukan kerjaya kehidupan mereka. Tetapi, perlu diakui bahawa kerjaya dalam perkhidmatan awam adalah lebih terjamin dalam sikon sosio-ekonomi hari ini. Kerana itu, perkhidmatan awam masih menjadi pilihan utama belia. Melainkan, kerajaan dapat memberikan jaminan yang baik untuk belia menceburkan diri dalam bidang lain.

Dalam berdepan keputusan ini, belia juga perlu proaktif dan bukan sekadar reaktif. Peningkatan usia persaraan dalam perkhidmatan awam bukan faktor besar punca pengangguran dalam kalangan belia. Pengangguran belia lebih banyak berpunca daripada belia sendiri tanpa menafikan punca kegawatan ekonomi yang sukar dielakkan. Jika belia mengambil sikap tunggu dan lihat, maka tidak mustahil pengangguran akan menjadi kerjaya yang pasti. Jika belia mengambil sikap proaktif dengan mencipta ruang dan peluang kerjaya sendiri, maka tiada wujud istilah pengangguran dalam kehidupan kita. Belia jangan tunggu disuap.


Comments

Anonymous said…
jangka hayat mngkt pun,cdak pun smkn byk juak yg berpenyakit mcm skt jntg misalny..bla stress ckt,mesti dakny xpat kerja...tpaksa ambk cuti,so kerja dh xpat mk berkualiti agk...
ayam kampung said…
yang didambakan daripada mereka adalah hikmah as-syuyukh (himaak generasi lama)... melalui pengalaman kerja yang sekian lama, nasihat dan bimbingan pun bagi pihak kerajaan adalah lebih dari cukup daripada mereka...

tapi, ini macam tikus baiki labu. kita selesaikan satu masalah dengan buat masalah lain. generasi muda macam mana? ini soal yg bajet 2012 tak dpt beri jawapan...